
Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)
BALING, 4 Mac (Malaysiaaktif) – Beban 391 orang mangsa banjir daerah Baling yang berlaku sekitar November tahun lepas, terbela apabila menerima bantuan wang ihsan sebanyak RM500 seorang.
Penyelaras Parlimen Baling Mohd Taufik Yaakob, berkata kerajaan akan sentiasa membela nasib rakyat yang ditimpa musibah.
“Syukur hari ini tanggungjawab saya bersama-sama agensi kerajaan yang bertungkus lumus menguruskan mangsa bencana banjir telah tertunai. Ini adalah tanda keprihatinan pihak kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat terus terbela,” ujarnya ketika merasmikan majlis Penyerahan Wang Ihsan Daerah Baling di Dewan Tun Abdul Razak, di sini semalam.
Mangsa banjir Zahari Othman, 53, dari Kampung Lahar berkata beliau menzahirkan rasa syukur tidak terhingga kerana menerima sumbangan wang ihsan ini.
“Sumbangan ini dapatlah saya berbelanja untuk keperluan keluarga dan menggantikan serba sedikit barangan yang rosak akibat banjir,” katanya.
Sebanyak RM195,500 diperuntukan kepada mangsa banjir daerah Baling yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah serta Pejabat Daerah Baling.
Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Baling Ilias Shuib, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Kedah Lt.Kol.(PA) Awang Askandar Ampuan Yaakob, Penyelaras Dewan Undangan Negeri Kupang Johari Abdullah dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Baling Lt. (PA) Mohd Faizol Ab Aziz.