
Laporan/foto: Nur Rezwane/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Perai Utara)
BAGAN, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Komuniti Harapan Malaysia(KHM) yang ditubuhkan pada tahun ini dibawah Jabatan Penerangan Malaysia merupakan satu Badan Bukan Kerajaan (NGO) sukarela berfungsi dalam memasarkan maklumat dan dasar-dasar kerajaan baharu agar lebih difahami masyarakat majmuk di negara ini.
Beberapa siri mesyuarat KHM yang telah diadakan menampakkan kesungguhan Pengerusi KHM dan AJK bersungguh-sungguh mengumpul masyarakat setempat untuk datang mendengar akan fungsi KHM dan program-program kemasyarakatan yang akan dibuat nanti. Bagi negeri Pulau Pinang sejumlah 93 KHM telah di wujudkan di setiap Parlimen dan DUN.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Seberang Prai Utara, Puan Nurazreen Abdul Rahman berkata, KHM adalah merupakan sebuah badan sukarela terdiri daripada pelbagai kaum yang ditubuhkan oleh Jabatan Penerangan bertujuan untuk memupuk nilai-nilai perpaduan untuk merealisasikan aspirasi Rukun Negara.
Turut hadir mesyuarat pada malam ini adalah YB Satees A/L Muniandy, selaku ADUN Bagan Dalam yang memberi ucapan aluan menjelaskan fungsi KHM menjadi ‘mata’ dan ‘telinga’ Jabatan Penerangan dalam masyarakat supaya sesuatu isu dan cadangan itu dapat disalurkan kepada kerajaan dengan melalui saluran yang tepat dan betul.
Bagi Pengerusi KHM Bagan Dalam, Encik Gunaseelan a/l Arumugam,43 tahun berasa bertuah kerana telah terpilih untuk mengemudi KHM Bagan Dalam diatas kepercayaan yang di berikan oleh YB Satees A/L Muniandy sebagai Adun Bagan Dalam. Beliau yang mempunyai syarikat dalam bidang keselamatan selama 10 tahun, berkata, pengalaman dalam mentadbir syarikat akan digunakan untuk mempastikan KHM Bagan Dalam akan sentiasa bersiap sedia untuk menjalankan apa-apa aktiviti kemasyarakatan disini nanti. Beliau yang merupakan anak kelahiran Bagan Dalam dan telah berkahwin serta mempunyai 2 orang anak mudah dikenali kerana beliau cukup aktif dalam bidang kebudayaan iaitu dalam NGO Persatuan Tamilar Malaysia.
ASP Kumar dari IPD SPU turut memberi sokongan penubuhan KHM ini kerana sejak kebelakangan ini isu viral di media sosial makin meluas melalui medium facebook dan whatsapp. Jadi dengan adanya KHM di bawah Jabatan Penerangan sebagai agen rasmi kerajaan dalam menyampaikan maklumat yang telus dan sahih sekaligus dapat menangkis isu-isu yang tidak benar.
Mesyuarat KHM Bagan Dalam di hadiri 100 orang ahli begitu bersemangat mendengar taklimat dan arah tuju komuniti harapan Malaysia. Ini akan menjadi contoh kepada KHM yang lain supaya dapat mengumpul ahli untuk terus bersama dengan Komuniti Harapan Malaysia di bawah Jabatan Penerangan Malaysia.