Skip to main content
HomeJohor

Perkongsian Yang Membawa Kecelakaan

By 11 Mac 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Musliha Yusof (Johor Bahru)

PUTRAJAYA, 11 Mac (Malaysiaaktif ) – Percaya atau tidak, zaman teknologi yang semakin canggih hari ini menyaksikan bahawa media sosial merupakan medium paling berpengaruh dalam menyebarkan maklumat.

Tidak dinafikan bahawa media sosial dianggap khazanah yang menyajikan beraneka jenis maklumat namun terdapat juga maklumat yang perlu diproses dan ditapis terlebih dahulu.

Perkongsian yang sering dilakukan oleh masyarakat pada hari ini sebenarnya mengundang bahaya pada diri sendiri. Istilah `sharing is caring’ yang selalu dicanang perlu diteliti sebelum membuat apa-apa perkongsian.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi, Saidatul Ashikin Abu Hassan berkata, “Terdapat segelintir individu yang memang suka menyebarkan maklumat, berita, cerita dan video-video yang tidak baik. Malah apa sahaja yang dilihatnya di media sosial, pantas sahaja jari-jemarinya itu menekan butang share tanpa usul periksa. Kadang-kadang perkara yang dikongsi itu tidak langsung ada kena-mengena dengannya.”

Taklimat dihadiri oleh kakitangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

Taklimat dihadiri oleh kakitangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

“Tanpa disedari, masyarakat yang sangat suka berkongsi ini tidak teragak-agak untuk memberi maklumat terperinci tentang harta-bendanya dan mengundang kepada kecelakaan kepada diri sendiri” ujarnya ketika memberi taklimat tentang kesedaran pencegahan jenayah media siber di Kompleks Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Putrajaya baru-baru ini.

“Perkongsian maklumat yang ditularkan di laman sosial ini jika tidak diurus dan dipantau dengan baik akan mendatangkan satu suasana yang sangat bahaya. Antaranya memberitahu kepada umum tentang persekitaran penyebaran maklumat palsu, penyebaran fitnah dan keinginan untuk membuka aib orang lain di media sosial berleluasa” tambah Saidatul.

“Saya berharap agar masyarakat pada hari ini tidak terlebih kongsi maklumat peribadi di laman sosial kerana perkara ini sememangnya ditunggu-tunggu oleh penjenayah” Saidatul turut mengingatkan kepada semua peserta taklimat.

Masyarakat perlu menyedari bahawa dengan cara mendedahkan identiti diri secara terperinci hanya membuka ruang jenayah terhadap diri sendiri. Perkongsian ini dianggap maklumat penting kepada para penjenayah untuk mengatur strategi dalam memperdayakan mangsa dan berkemungkinan boleh membawa kepada jenayah membunuh.

Nur Nazurah sentiasa berwaspada berkongsi maklumat peribadi di laman sosial

Nur Nazurah sentiasa berwaspada berkongsi maklumat peribadi di laman sosial

Pelajar Universiti Teknologi Mara, Nur Nazurah Abdul Rahim amat bersetuju dengan kenyataan tersebut memandangkan pada zaman ini ramai penjenayah yang bijak menggunakan aplikasi teknologi maklumat.

“Saya tidak akan kongsi hal peribadi di laman sosial kerana banyak kes jenayah berpunca dari perkongsian di laman web. Mungkin mangsa tidak sedar bahawa penjenayah sentiasa licik dalam menyusun perancangan untuk memperdaya mangsa,” ujarnya yang merupakan pelajar Program Sarjana Muda Ijazah Perakaunan.

“Bukan semua benda kita boleh kongsi di laman sosial kerana kita tidak tahu hati budi orang yang tidak kita kenali secara dekat. Mungkin ada yang suka, dan tidak mustahil ada yang tidak menggemari apa yang kita kongsikan” tambahnya lagi.

Taklimat Kesedaran Pencegahan Jenayah Siber Dan Antipemerdagangan Orang anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah diadakan pada 7 Mac 2019 di Dewan Serbaguna Kompleks KKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Turut hadir pada taklimat tersebut adalah Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor.

EM

Tinggalkan komen anda