
Laporan/foto: Asmidar Zainol/PETRONAS (Kota Kinabalu)
KINABATANGAN, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS melanjutkan kerjasama dalam bidang penyelidikan di Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) melalui Memorandun Persefahaman (MOU) yang dimeterai di pusat berkenaan.
Pengerusi PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, menerusi Yayasan PETRONAS, MOU selama lima tahun berkenaan melibatkan penyelidikan dalam bidang karbon, biodiversiti dan tenaga boleh diperbaharui.
“Ia sebagai usaha untuk melindungi hak cipta intelektual dan paten komersial hasil daripada penyelidikan di kawasan Kanyon Imbak.
“Kami mahu meneruskan usaha konservasi dalam kaedah yang mampan dan berskala di mana kejayaan bersama dapat dicapai.
“Yayasan Sabah dan Yayasan Petronas juga bakal memperkenalkan geran penyelidikan bagi mendorong kepada penyelidikan bidang-bidang tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Jamalul Kiram Datuk Mohd Zakaria berkata usaha kerjasama tersebut dapat mengukuhkan Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) sebagai pusat pembelajaran komuniti tempatan.
“Antara bidang yang yang boleh diteroka adalah pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber alam yang mampan, di samping langkah memelihara bank gen dan meneroka potensi bidang farmaseutikal dan bioteknologi.
“Seiring dengan misi Yayasan Sabah untuk memperkasakan komuniti tempatan, pembinaan ICSC akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam aktiviti-aktiviti pelancongan berkaitan hospitaliti dan pelancongan kepada komuniti Imbak khasnya generasi muda.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berbual mesra bersama Mohd Shafie (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Jamalul Kiram (kiri) dan Ahmad Nizam (kanan).
“Kami berharap kerjasama erat dengan Yayasan Petronas dapat membantu Yayasan Sabah dalam usaha konservasi dan pembangunan di Sabah.
“PETRONAS telah memperuntuk sebanyak RM83 juta sejak 2010 iaitu RM6 juta bagi fasa pertama dan RM77 juta bagi fasa kedua pada 2014 bagi membangunkan kawasan ini,” ujarnya.
Ahmad Nizam dan Jamalul Kiram berkata demikian selepas majlis perasmian Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) di sini pada Selasa.
ICSC merupakan sebuah pusat kemudahan pembelajaran dan penyelidikan seluas 27 hektar yang terletak dalam zon teras Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) yang berkeluasan 27,599 hektar.