Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Aset TUDM Masih Dalam Keadaan Baik

By 27 Mac 2019Tiada komen1 minit bacaan

 

Β Laporan/foto : Farhana Azlin Lajis/Muhammad Jazli Idris (Langkawi)

LANGKAWI, 27 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan pada masa kini tidak bercadang untuk membeli pesawat baharu bagi menggantikan aset udara milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang sudah lama digunakan di negara ini.

Menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kerajaan sememangnya ada cadangan mempertimbangkan untuk pembelian aset-aset baharu namun terpaksa menundanya dahulu.

“Kita sememang berminat untuk membeli pesawat baharu, namun dalam keadaan sekarang, ia tidak dapat dilaksanakan dan negara perlu menunggu lebih lama untuk menggantikan aset-aset milik TUDM.”

Menurut Dr Mahathir lagi pesawat pejuang dan helikopter milik TUDM pada masa kini masih mampu beroperasi dengan baik walaupun sudah berusia kerana diselenggara secara rapi.

“Kita dapat melihat pada acara demonstrasi, walaupun pesawat tersebut telah berusia namun ia masih mampu beraksi dengan baik kerana diselenggara dengan sempurna,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini, semalam.

Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk menggantikan pesawat tempur milik negara yang telah berusia dengan pesawat yang baharu.

Untuk rekod, pesawat paling lama masih digunakan TUDM ialah helikopter Nuri yang berusia lebih 50 tahun, pesawat pejuang Hawk (25 tahun), F/A-18D Hornet (20 tahun) dan Su-30MKM (10 tahun).

Sementara itu, beliau juga berbangga melihat LIMA masih berjaya menarik penyertaan antarabangsa dan syarikat aeroangkasa dari seluruh dunia.

-SH

Tinggalkan komen anda