Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Luangkan Cuti Sekolah Dengan Orientasi Bersama BSMM

By 26 Mac 2019Tiada komen4 minit bacaan
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Menjadi satu kebiasaan pada keluarga yang punya anak-anak untuk merancang aktiviti yang bakal dilakukan jika cuti persekolahan hampir tiba.

Selain beriadah di tepi laut, bercuti ke luar kota, menonton filem di pawagam ataupun balik kampung antara pilihan yang kerap dilakukan untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

Suasana ketika sesi taklimat berjalan.

Suasana ketika sesi taklimat berjalan.

Berbeza pula dengan 168 orang pelajar daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) yang perlu melupakan seketika impian percutian mereka kerana perlu menjalani tempoh empat hari dengan Orientasi Belia dan Kanak-Kanak Bulan Sabit Merah Malaysia(BSMM) Peringkat Daerah anjuran Unit Latihan Belia, BSMM Putatan.

Para pelajar ini daripada empat buah sekolah menengah dan lapan buah sekolah rendah sekitar daerah Putatan datang dengan sokongan penuh daripada ibu bapa yang turut hadir meninjau aktiviti anak masing-masing.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

Perkara ini turut diakui oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah, Mardianah Mohd Ibno yang menghargai sokongan daripada ibu bapa kerana sudi menghantar dan menjemput anak-anak agar dapat menyertai program ini.

“Biasanya pada musim cuti kanak-kanak ini suka lakukan aktiviti yang menyeronokkan dan tidak lagi mahu lakukan aktiviti berkait pelajaran, jadi apa yang saya nampak hari ini penglibatan itu sangat positif, anak-anak ramai yang terlibat, ibu bapa pun beri sokongan yang tinggi.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

“Jadi semua ini pun bermula daripada ibu bapa sendiri, kalau sokongan mereka kuat insyaAllah apa sahaja aktiviti yang dibuat di sekolah pasti akan disokong dengan baik.

“Penyertaan pun hampir 200 orang yang menunjukkan badan beruniform ni mampu menarik minat mereka.

“Kanak-kanak ni kita tidak boleh fokus mereka kepada akademik semata-mata, sepatutnya kita beri mereka kelonggaran untuk aktiviti seperti ini yang melibatkan kemahiran berfikir di luar kotak, membuatkan anak-anak ini lebih cemerlang kerana ada perkara yang mereka tidak boleh buat di dalam kelas,” ujarnya.

Para peserta ketika diajar kaedah betul CPR.

Para peserta ketika diajar kaedah betul CPR.

Tambahnya, dengan penglibatan ahli-ahli belia dan kanak-kanak BSMM dapat memupuk hubungan silaturahim di mana mereka dapat berkenalan antara satu sama lain sepanjang orientasi dijalankan.

“Saya suka apabila pelajar-pelajar ini didedahkan dengan kemahiran-kemahiran membantu seperti Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) sebab ia dapat jadi satu kemahiran yang boleh membantu orang lain ketika ditimpa kesusahan.

Para peserta ketika diajar kaedah betul CPR.

Para peserta ketika diajar kaedah betul CPR.

“Selain itu, para pelajar ini juga mempunyai potensi yang baik dalam bidang ko kurikulum dan jika diketengahkan insyaAllah mereka boleh memiliki kerjaya yang lebih baik lagi.

“Kita dapat lihat dalam PBSM ini, mereka boleh jadi doktor, jika itu cita-cita mereka sudah tentu dapat menarik minat untuk berlatih lebih bersungguh-sungguh dan bila ada kemahiran tu mereka boleh gunakan dengan membantu kawan-kawan yang lain,” katanya.

Peserta program merakamkan kenangan bersama Mardianah dan para pegawai BSMM.

Peserta program merakamkan kenangan bersama Mardianah dan para pegawai BSMM.

Harapannya juga agar selepas program ini peserta dapat menunjukkan kemahiran yang mereka pelajari dengan membantu rakan-rakan, ahli keluarga dan masyarakat dan lebih menonjol lagi PBSM ini boleh membantu semua orang terutamanya ketika mengalami bencana alam.

“Saya juga berharap anak-anak ini didedahkan dengan aktiviti positif sebegini kerana kita dapati ia dapat menghindarkan mereka daripada aktiviti jenayah dan juga dadah, jadi saya harap PBSM dapat merancang aktiviti berskala besar dan secara berkala selepas ini mungkin untuk pentauliahan pula,” katanya.

Suasana ketika sesi penilaian orientasi.

Suasana ketika sesi penilaian orientasi.

Unit Belia dan Kanak-kanak (BSMM) merupakan salah satu daripada bahagian penting dalam pergerakan kemanusiaan dan kesukarelaan terbesar di dunia.

Orientasi yang dijalankan selama empat hari ini bertujuan memberi pendedahan berkaitan pergerakan BSMM, di samping menganugerahkan Lencana Kecekapan kepada ahli-ahli dalam melengkapkan dan meningkatkan kecekapan berpandukan silibus latihan kecekapan yang terdapat dalam buku panduan NO 7.

Salam Adisah ketika menerima penghargaan.

Salam Adisah ketika menerima penghargaan.

Dalam pada itu, Peserta Terbaik Kanak-Kanak (Lelaki), Salam Adisah, 12 telah menyertai PBSM sejak berada pada tahun empat melalui pemilihan yang dilakukan secara rawak.

Namun begitu, selepas beberapa kali menghadiri perjumpaan persatuan, akhirnya timbul minat dalam dirinya kerana PBSM mengajar ahli-ahlinya kaedah merawat dan membantu orang.

Salam juga bercita-cita ingin menjadi ahli bomba kerana menurutnya tugas anggota bomba banyak membantu masyarakat pada bila-bila masa diperlukan.

Amanda Mabellove Piusai ketika menerima penghargaan

Amanda Mabellove Piusai ketika menerima penghargaan

Manakala bagi Peserta Terbaik Belia (Wanita), Amanda Mabellove Piusai, 17 sudah lima tahun terlibat dalam PBSM kerana melatihnya menjadi seorang yang berdisiplin.

“Sebelum menyertai PBSM, saya merupakan seorang yang degil, tetapi PBSM banyak mengubah saya kerana pegawai banyak mengajar dan menegur hingga saya menjadi individu yang berdisiplin.

“Pengalaman semasa sesi orientasi memang mencabar kerana apabila saya dilantik sebagai penghulu wati, saya perlu bangun tidur seawal 4.00 pagi, kerana menjadi pemimpin perlu terima segala tugasan dan menjadi contoh kepada kawan-kawan.

Suasana ketika sesi penilaian orientasi.

Suasana ketika sesi penilaian orientasi.

“Mandi pula tidak sempat untuk menggunakan sabun kerana kami hanya diberi masa kurang dari tiga minit untuk mandi memandangkan pegawai-pegawai mahu kami biasakan diri dalam suasana bencana, kerana setiap ahli perlu sentiasa bersedia berikutan bencana berlaku tidak dijangka,” jelasnya.

Bercita-cita untuk menjadi ahli fisioterapi, Amanda merasakan dengan menyertai PBSM merupakan laluan yang betul untuknya mencapai cita-cita dan dia juga nekad untuk aktif dalam persatuan ini walaupun selepas meninggalkan alam persekolahan.

Suasana ketika sesi penilaian orientasi.

Suasana ketika sesi penilaian orientasi.

Turut hadir, Naib Pengerusi 1 BSMM Negeri Sabah, Mohd Saiful Seman; Pengarah BSMM Negeri Sabah, Simon Chin; Pengerusi BSMM Daerah Putatan, Hajah Nanih Abah; Naib pengerusi 1 BSM Daerah Putatan, Awang Ahmad Idris; Naib Pengerusi 2 BSM Daerah Putatan, Adnan Ibrahim dan Pengerusi Penganjur, Azryan ismail.

Hadir sama, guru penasihat BSM dari daerah-daerah antaranya Lahad Datu, Kota Kinabalu, Papar, Tuaran, Penampang, Sipitang dan Putatan.

EM

Tinggalkan komen anda