Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Menyahut Seruan #CleanUpChallenge

By 16 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak) 

PASIR PANJANG, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Warga Ibu Pejabat Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak yang diketuai oleh Abang Sardon Hj Abang Hashim, Pengarah Penerangan Sarawak  telah  menyahut seruan #CleanUpChallenge di pantai Kampung Pasir Panjang Santubong Kuching.

Program khidmat masyarakat ini adalah sebahagian daripada inisiatif Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak untuk menggalak warga pekerjanya agar mempunyai kesedaran terhadap alam sekitar.

Gambar Sebelum dan selepas pembersihan

Gambar Sebelum dan selepas pembersihan

Program ini adalah idea kumpulan pengurusan jabatan bagi menggalak warga jabatan terlibat dalam penjagaan  alam sekitar. Tugas pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan perlu dipupuk dalam kalangan ahli organisasi dan keluarga. 

Pada masa sekarang banyak kawasan rekreasi dan riadah telah dicemari oleh sampah-sarap.  Amalan tidak beretika ini bukan sahaja mengotorkan alam sekitar tetapi memberi ancaman terhadap kesihatan manusia.

Pencemaran alam sekitar turut memusnahkan habitat yang terdapat di sekelilingnya. 

Pembuangan bahan plastik yang tidak mudah musnah akan memberi kesan kepada hidupan laut. Baru-baru ini seekor ikan paus mati terdampar di pantai di mana di dalam perutnya terdapat lebih kurang 14 kg plastik terdiri daripada botol, straw, kertas, tin minuman dan sebagainya.

Justeru itu, warga jabatan di peringkat ibu pejabat serta daerah di Sarawak digalakkan mengadakan Program Khidmat Masyarakat sebagai salah satu cara untuk memastikan alam sekitar sentiasa bersih. 

Setakat ini tiga  Pejabat Penerangan Daerah telah menyahut cabaran program ini ialah Lawas, Daro dan Betong. Seruan cabaran seterusnya akan disahut oleh beberapa daerah lain sebagai satu tanda sokongan kecintaan terhadap alam sekitar. 

Penglibatan warga jabatan amat penting bukan sahaja sebagai penyebar maklumat tetapi membantu komuniti dan memberi kesedaran terhadap kebersihan alam sekitar.

Rata-rata mereka gembira dan bersetuju dengan program seperti ini. Walaupun kawasan ini agak jauh namun keseronokkan ditambah pula dengan gurau senda telah memeriahkan  suasana di Pantai Pasir Panjang. 

 “Saya amat setuju dengan program seperti ini dan sepatutnya dapat dilakukan kerap,” ujar Bob. “Sebagai anggota masyarakat kita harus prihatin dan menyayangi alam sekitar agar sesuatu kawasan itu nampak cantik dan udaranya segar sentiasa,” tambah Bella.

Mereka berharap agar masyarakat juga prihatin dengan alam sekitar dan mempunyai kesedaran untuk memastikan tempat-tempat rekreasi dan riadah awam ini sentiasa dipelihara kebersihannya.

Pihak pengurusan berharap program seperti ini mampu memberi impak kepada masyarakat dan warga jabatan.Pemiharaan dan pemuliharaan alam sekitar bukan sahaja diletakkan di bahu pihak berkuasa dan bertanggungjawab tetapi sebagai ahli masyarakat kita harus sama-sama membantu menjaga kebersihan tersebut.

Tinggalkan komen anda