Skip to main content
HomeJohor

Sultan Johor Solat Hajat Bersama 1,000 Jemaah

By 16 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Khairul Hadi Mahat (Segamat)

LABIS, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyertai lebih 1,000 jemaah di Masjid Chaah bagi menunaikan solat Jumaat dan Solat Sunat Hajat memohon perlindungan ekoran pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, semalam.

Keberangkatan tiba baginda pada 1.00 tengah hari disambut ahli jawatankuasa masjid dengan diiringi selawat nabi.

Terlebih dahulu, baginda turut berkenan merasmikan Masjid Chaah di sini sebelum Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad membacakan doa selamat diikuti dengan menandatangani buku pelawat masjid.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim kemudian bersama-sama pemimpin tempatan serta masyarakat setempat menyertai solat Jumaat yang diimamkan oleh Imam Mu’minin Sodikin.

Pengerusi Masjid Chaah, Sukaimi Boyamin

Pengerusi Masjid Chaah, Sukaimi Boyamin

Turut hadir, Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli; Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot.

Pengerusi masjid, Sukaimi Boyamin melahirkan rasa syukur dan menjunjung kasih atas kesudian Sultan Ibrahim mencemar duli berangkat merasmikan masjid tersebut yang dibina dengan kos keseluruhan bernilai RM3.5 juta.

“Kerja-kerja membina Masjid Chaah bermula pada April 2015 dan sepanjang tempoh pembinaan, penduduk Chaah bersolat jemaah di Balairaya Taman Sri Chaah sebagai masjid sementara.

“Masjid Chaah ini siap sepenuhnya setahun kemudian yang kini mampu memuatkan sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Wira Onn Mahmud yang menanggung perbelanjaan pembinaan Masjid Chaah baharu ini.

Pengerusi Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Wira Onn Mahmud (dua dari kiri) dan CEO Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, Datuk Kasim Nani@Abd Ghani (tengah)

Pengerusi Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, Tan Sri Datuk Wira Onn Mahmud (dua dari kiri) dan CEO Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, Datuk Kasim Nani@Abd Ghani (tengah)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Achi Jaya Plantation Sdn Bhd, Datuk Kasim Nani@Abd Ghani, menyifatkan pembinaan masjid baharu itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat beliau kepada masyarakat Islam di Chaah.

Selain menanggung perbelanjaan pembinaan masjid baharu ini, Achi Jaya Plantation Sdn Bhd yang telah bertapak di Chaah lebih 12 tahun turut membina hubungan baik dengan penduduk tempatan dengan mengadakan majlis berbuka puasa, setiap tahun.

EM

Tinggalkan komen anda