Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

UiTM, Taman-Taman Sabah Pergiat Kongsi Kepakaran

By 16 Mac 2019Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:
 Laporan/foto: Asmidar Zainol/Mohd Nasrie Tapisil (Kota Kinabalu)

Kota Kinabalu, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalin kerjasama dengan Taman-Taman Sabah bagi mempergiat perkongsian kepakaran di antara kedua-dua organisasi tersebut.

Menurut Rektor UiTM Sabah, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Kadir Rosline, kerjasama dua hala tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi manfaat dalam bidang penyelidikan, latihan dan kemahiran.

“MoU ini mempromosi serta mewujudkan peluang penerokaan untuk membangun dan menyokong penyelidikan dalam bidang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

“Ini merupakan detik sejarah kerana MOU ditandatangani bagi pihak Naib Canselor UiTM, di mana ruang penyelidikan akan lebih luas dan kita dapat berkongsi kepakaran dengan hampir 10 ribu pensyarah termasuk saintis UiTM di seluruh negara.

“Kita boleh bekerjasama dalam banyak bidang dan saya harap ini akan menjadi satu suntikan kepada pihak lain juga supaya dapat menjalankan kerjasama dengan pihak Taman-Taman Sabah.

“Kita juga berharap akan dapat membantu kerajaan negeri merealisasikan hasrat Ketua Menteri Sabah untuk merancakkan lagi aktiviti-aktiviti saintifik dan memainkan peranan yang besar di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

MOU berkenaan menggariskan kerjasama UiTM dan Taman-Taman Sabah dalam menganjurkan siri program ekspedisi saintifik dan menganjurkan Program Pembangunan Kerjaya UiTM – Taman-Taman Sabah melalui beberapa siri program pembangunan kerjaya pelajar dan kakitangan termasuk latihan praktikal serta latihan industri.

Turut digariskan, penganjuran Kerjasama Latihan dan Penyelidikan UiTM – Taman-Taman Sabah iaitu latihan dan penyelidikan untuk program intelektual serta menjalankan kerjasama dalam bidang akademik seperti mana dipersetujui oleh kedua-dua pihak dari masa ke semasa.

Abdul Kadir berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Perasmian Bengkel Pelan Strategik Taman-Taman Sabah 2019 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Taman-Taman Sabah dengan Universiti Teknologi MARA di sini pada Khamis.

MOU berkenaan ditandatangani oleh Abdul Kadir bagi pihak UiTM dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Mohd Amin Abd Mem bagi pihak Taman-Taman Sabah.

Turut hadir pada majlis berkenaan Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Jamili Nais.

EM

Tinggalkan komen anda