Skip to main content
Berita TempatanHomeKuala LumpurPutrajayaSains & Teknologi

5G Buka Jalan Baharu Untuk Inovasi – SKMM

By 10 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 10 Apr (Malaysiaaktif) – Teknologi mudah alih generasi kelima (5G) yang menjanjikan kelajuan berganda dengan kadar tindak balas yang tinggi, boleh membuka peluang inovasi dalam pelbagai sektor.

Ketua Bahagian, Bahagian Teknologi & Standard, Sektor Digital, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Ahmad Nasruddin ‘Atiqullah Fakhrullah berkata biarpun teknologi 5G masih di peringkat pengenalan di negara ini, namun ia seharusnya dilihat sebagai peluang untuk semua pihak memajukan diri, kerjaya, mahupun perniagaan.

“Contohnya dalam bidang pertanian, kita boleh lihat bagaimana teknologi dan ‘Internet of Things’ (IoT) dapat meningkatkan produktiviti. Ada dron yang boleh digunakan menyembur baja dan ini dapat mengurangkan kos penyelengaaran serta sumber manusia.

“Dengan menggunakan teknologi, para petani boleh pertingkatkan diri dan seterusnya memberikan kesan-kesan yang baik pada pengeluaran mereka,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Nine11 terbitan Bernama News Channel di Wisma Bernama, hari ini.

Ahmad Nasruddin berkata terdapat tiga ciri penting yang ditawarkan teknologi 5G iaitu kelajuan data tinggi, tindak balas pantas; dan ‘massive machine-type communication’ yang boleh menyambungkan satu juta peranti dalam kawasan seluas satu kilometer persegi.

“Jika dibandingkan dengan teknologi 4G atau LTE yang ada pada masa ini, kelajuan 5G akan meningkat 10 kali ganda. Mengikut teori, kelajuan maksimum 5G boleh mencecah 20 gigabit per saat.

“Manakala tindak balas pantas yang dijanjikan adalah pada kadar satu millisaat, dan ini boleh diaplikasikan pada teknologi kereta tanpa pemandu dan juga pembedahan jarak jauh,” jelasnya.

Berdasarkan tiga ciri penting itu, Ahmad Nasruddin berkata terdapat banyak peluang yang boleh dimanfaatkan. Malah, revolusi industri 4.0 di Malaysia juga boleh direalisasikan dengan teknologi 5G.

Untuk rekod, 5G adalah selari dengan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) kerajaan untuk menyediakan rakyat dengan kesalinghubungan digital yang mampan, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mampu milik.

November lepas, SKMM menubuhkan pasukan petugas 5G kebangsaan, bersama pelbagai pihak berkepentingan utama dan pemain industri, khusus bagi mengkaji serta mengesyorkan strategi holistik untuk pelaksanaan 5G.

Manakala pada awal bulan ini, dua rangkaian 5G telah dibangunkan di Putrajaya di empat lokasi pelancaran.

Bagi berkongsi ‘keajaiban’ dan manfaat teknologi 5G, satu pameran akan diadakan di Putrajaya dari 18 – 21 April ini bertemakan ‘Progressing Humanity’.

Satu pelancaran ujian berkaitan 5G dijadual berlangsung pada 18 April dengan majlis perasmian disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala pameran akan dibuka kepada orang ramai bermula 20 April.

Ahmad Nasruddin berkata tema ‘Progressing Humanity’ dipilih kerana 5G bukan sekadar teknologi, tetapi satu medium memajukan kemanusiaan.

“…kerana ia bukan hanya menggabungkan keterhubungan, malah Internet of Things dan bandar-bandar. Dengan kemajuan yang ada dan pelbagai aplikasi baharu, 5G kita boleh lihat apa yang sebenarnya boleh kita nikmati sebagai manusia,” katanya. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda