Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

GEMA Bantu Tingkat Kesedaran Pengguna Bagi Kurangkan Kos Sara Hidup

By 21 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

 

Laporan/foto: Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)

BANDAR BAHARU, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited untuk memberi kesedaran kepada pengguna melalui Program Gerakan Kepenggunaan Masjid (GEMA) yang telah dimulakan sejak awal tahun ini.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata GEMA yang diilhamkan oleh Penasihat Pengguna Negara ini merupakan idea yang baik kerana menggunakan masjid sebagai platform untuk mendidik ilmu kepenggunaan kepada pengguna.

“Pemilihan masjid sebagai lokasi utama dalam menggerakkan GEMA ini sangat relevan memandangkan masjid merupakan institusi yang membentuk masyarakat memahami hidup kepenggunaan yang bermaklumat dan membentuk komuniti pengguna yang produktif.

“Sambutan dan sokongan yang baik pada hari ini perlu diteruskan dan saya amat berpuas hati dan akan meneruskan usaha ini hingga mencapai sasaran,” katanya ketika merasmikan program tersebut di perkarangan Masjid Al-Halimi Bandar Baharu, di sini semalam.

Menurut Saifuddin lagi beberapa inisiatif telah diambil KPDNHEP dalam menangani kos sara hidup seperti melancarkan inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna (i-Keep).

Saifudin turut melancarkan jualan 'happy hour' beberapa jenis barangan keperluan terpilih sempena program ini.

Saifudin turut melancarkan jualan ‘happy hour’ beberapa jenis barangan keperluan terpilih sempena program ini.

“Yang mana i-Keep ini menawarkan harga pada 3-20 peratus lebih murah terhadap 195 barangan terpilih di premis kendalian rakan strategik peruncitan yang terpilih dan juga program bank makanan untuk menggelak pembaziran makanan.

“Saya juga berharap agar program ini dapat mendidik masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan mampu menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup sekarang, iaitu bijak memilih barangan melalui program yang KPDNHEP anjurkan,” ujarnya lagi.

Seorang pelanggan Roslan Lod, menyifatkan program GEMA ini sangat baik dalam membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan harian kerana menawarkan harga yang lebih murah berbanding di kedai-kedai biasa.

“Saya bersyukur dengan peluang yang ada membolehkan saya membeli beras dan minyak masak pada harga yang sangat murah,” ujarnya.

Sementara itu, Ramzan Yusuf yang mengusahakan kedai makanan pula berpendapat, karnival jualan murah seperti ini amat baik dan perlu diadakan sebulan sekali untuk masyarakay mendapatkan bekalan yang jauh lebih murah berbanding harga di kedai-kedai biasa.

-SH

Tinggalkan komen anda