Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Lata Keding Khazanah Rimba Jeli

By 21 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto : Mohd Noor Mahmuddin Mohd Mahlil/Wan Seman Wan Bedollah(Jeli)

JELI, 21 Apr (Malaysiaaktif) – Lata Keding Bukit Kudung merupakan lokasi riadah flora dan fauna yang baharu ditemui di Kampung Gemang Jeli.

Keaslian sumber alam Khatulistiwa ini masih kekal terjaga dan berpotensi menjadi destinasi rekreasi bagi pencinta alam semulajadi.

Deruan air sungai jernih yang mengalir tenang, kicauan burung serta unggas yang mendamaikan dan kehijauan hutan rimba yang jauh dari kesibukan kota pastinya menjanjikan suatu pengalaman baru bagi pengunjung-pengunjung yang datang ke lata ini.

Bagi penduduk tempatan lata ini sememangnya telah lama diketahui kewujudannya.

Namun bagi masyarakat luar Daerah Jeli ianya masih belum popular walaupun laluan masuk ke tempat ini adalah berhadapan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Jeli.

Lokasinya kira-kira empat kilometer dari jalan utama Gemang dan boleh dihubungkan melalui jalan darat yang sempurna.

Pengunjung boleh memilih untuk menaiki kenderaan atau berjalan kaki untuk masuk ke kawasan ini.

Bagi memberikan kemudahan kepada pengunjung yang datang ke Lata Keding Bukit Kudung ini, sebuah syarikat persendirian sedang membangunkan kawasan rekreasi ini dan menawarkan pelbagai kemudahan lengkap kepada pengunjung yang dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.

Lokasi sungai bagi aktiviti pengunjung bersama keluarga

Lokasi sungai bagi aktiviti pengunjung bersama keluarga

Antara kemudahan yang disediakan seperti dewan terbuka, tapak perkhemahan, restoran, mini zoo serta tandas. Manakala chalet dan asrama sedang giat dibangunkan.

Menurut Pengurus Projek Lalang’s, Norzahar Daud, walaupun belum siap sepenuhnya, Lata Keding telah dikunjungi oleh pengunjung tempatan dan juga luar lebih-lebih lagi apabila bermula musim cuti sekolah.

Tidak terkecuali pelajar-pelajar UMK Kampus Jeli juga sering menjadikan lokasi ini sebagai tempat untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan.

Persekitaran kolam yang dikelilingi kehijauan hutan rimba menggamit kunjungan

Persekitaran kolam yang dikelilingi kehijauan hutan rimba menggamit kunjungan

“Memandangkan lata ini masih dalam proses pembinaan, pihak kami amat menitikberat penjagaan ekosistem dan sentiasa menasihati para pengunjung sentiasa menjaga kebersihan agar kehijauan flora dan fauna dapat dipelihara,” tegasnya.

“Pihak kami berusaha membangunkan Lata Keding bagi membuka mata penduduk tempatan dan luar bahawa di sebalik hutan rimba, Jeli juga mempunyai khazanah alam yang berharga,” katanya.

“Kawasan ini mampu menarik minat pelancong-pelancong luar jika dipromosikan dengan terancang oleh pihak kerajaan negeri dan persekutuan. Selain itu, lata ini juga mampu menjana ekonomi penduduk setempat apabila dibuka secara menyeluruh kelak,” tambahnya lagi.

Usaha untuk membangunkan Lata Keding akan diteruskan dengan pelbagai pakej menarik dalam menjadikan kawasan ini sebagai destinasi pilihan pelancong nanti.

-NAZ

Tinggalkan komen anda