Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Idaman ditawarkan Pada RM250,000 Seunit

By 7 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto : Mohamad Zairin Bin Mohamad Zin (Selangor)

KAJANG, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Selangor bertekad untuk merevolusikan industri perumahan mampu milik negara dan hari ini satu solusi yang dipanggil Rumah Idaman Selangor dizahirkan dan ini akan menjadi satu jenama kepada semua selepas ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyatakan beberapa projek yang kita sasarkan dan kita menawarkan rumah ini dengan kadar harga RM250,000 satu unit dengan keluasannya 1000 kaki persegi.

“RM250,000 ini adalah harga bersih yang kita tawarkan dan ia akan diikuti dengan pembinaan kediaman yang berkualiti dan dalam masa yang sama format Rumah Idaman Selangor ini juga akan berusaha sedaya upaya menawarkan solusi pembiayaan pinjaman yang selama ini melingkari masalah khususnya di kalangan pembeli-pembeli rumah pertama dalam negara kita,” kata Amirudin ketika Majlis Pelancaran Dan Pecah Tanah Projek Idaman Abadi di Bandar Teknologi Kajang semalam.

“Rumah Idaman ini akan memiliki pinjaman-pinjaman sehingga kepada pembiayaan pinjaman 100% untuk kemudahan pembeli-pembeli pertama di dalam negeri Selangor dan juga untuk anak-anak negeri Selangor,” tambah beliau.

Amirudin turut menyatakan sebanyak 2059 unit yang telah disasarkan dan daripada jumlah itu, pemaju akan menyerahkan 70 unit kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan nilai RM17.5 juta dan projek ini dimulakan sekarang dan akan siap sempurna pada tahun 2022.

Menteri Besar Selangor melakukan upacara pecah tanah sebagai simbolik pelancaran

Menteri Besar Selangor melakukan upacara pecah tanah sebagai simbolik pelancaran

“Saya sangat positif dengan pelan dan rangka baru projek ini kerana projek pada kali ini bukan hanya menawarkan untuk membantu kelompok B40 tetapi dalam masa yang sama kelompok M40 dapat dibantu juga melalui projek ini,” ujar beliau.

Menteri Besar Selangor juga turut menyatakan sasaran kerajaan negeri pada tahun ini adalah sekitar 4000 hingga 5000 rumah dibangunkan tetapi sudah menerima pendaftaran seramai 6000 peserta dan daripada jumlah itu seramai 3000 peserta telah meletakkan deposit komitmen untuk menyertai dan membeli Rumah Idaman Selangor ini.

“Kita bermula dengan 2059 di tapak ini dan kita akan teruskan di tapak-tapak yang lain dan inilah satu lagi usaha kerajaan negeri menyediakan rumah dan kediaman yang sempurna untuk rakyat,” kata Amirudin.

Projek Idaman Abadi adalah salah satu projek perumahan di bawah kerajaan negeri dan ia akan dilengkapi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air serta kelengkapan lain sebagai tambahan iaitu kabinet dapur, peti sejuk, penyaman udara di setiap bilik, televisyen, kabinet televisyen, pemanas air, dan dua tempat letak kereta.

Projek ini akan dimajukan di Kajang, Bangi, Ampang, Shah Alam, Cyberjaya, Dengkil, Setia Alam, Klang, Bandar Saujana Putra, Bandar Salak Tinggi, dan Kuala Langat Utara dan jumlah keseluruhannya sebanyak 30,000 unit akan dibangunkan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda