
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)
BINTULU, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Pantai Tanjung Batu yang menghadap Laut Cina Selatan berlandskapkan tumbuhan hijau, pantai separa berbatu begitu menarik dan menjadi kemegahan warga Bintulu. Malah penduduk luar Bintulu seringkali singgah kerana tertarik dengan panorama kawasan ini.
Nama pantai ini dikenal sebagai Tanjung Batu kerana terdapat singkapan batuan yang menganjur sepanjang tebingan pantai terdiri daripada batu pasir diselangi oleh batu lodak dan batu lumpur. Kebanyakannya batuan telah terluluhawa akibat perubahan geologi serta tindakanbalas ombak jutaan tahun yang lalu.
Pantai ini merupakan destinasi riadah dan rekreasi paling popular dan sentiasa sesak dengan pengunjung pada hari hujung minggu dan cuti umum. Ia telah popular semenjak Bintulu mengalami ledakan ekonomi pada tahun 1978 iaitu semasa pembinaan MLNG, Pelabuhan Bintulu dan industri berat yang lain.
Kedudukannya yang strategik separa di kelillingi oleh Taman Tumbina, Kelab Golf Bintulu dan juga berdekatan dengan Pusat Komersial Kemena, Bangunan BDA, Imperial Suites, Kompleks Boulevard, jalan pintas ke Tanjung Kidurong serta kawasan rekreasi rentas rimba.
Mereka yang datang ke sini adalah untuk beriadah, menghilangkan penat, menatap panorama laut, pantai dan matahari terbenam, menyaksi deburan ombak menghempas pantai serta menikmati angin segar dari Laut China Selatan.
Walaupun pantainya tidak landai tetapi pembinaan beberapa buah pulau kecil untuk menghadang ombak begitu menarik pemandangan. Pulau-pulau kecil ini dapat dikunjungi pada waktu air surut. Tujuan pembinaan pulau-pulau kecil ini adalah untuk mengurangkan hakisan pantai dan mengelak batuan daripada cepat terluluhawa.
Di samping itu terdapat beberapa buah gerai yang menyediakan menu-menu ringan termasuk makanan tempatan yang menyelerakan seperti mee, sate, ayam bakar serta minuman ringan seperti berbagai jenis air cendol dan kelapa segar.
Sudah kerapkali kerja-kerja menaiktaraf dilakukan bagi mengindah dan menambahkan lagi kemudahan di sini memandangkan ia semakin diminati warga Bintulu dan pengunjung luar.
Antara yang dinaiktaraf ialah taman permainan kanak-kanak, gerai, tandas, laluan pejalan kaki dan tempat parkir dan pondok rehat. Manakala kemudahan baru yang dibina pada tahun 2016 ialah laluan bulatan pejalan kaki bertingkat yang boleh digunakan untuk melihat panorama kaki langit dan matahari terbenam. Malah tempat ini popular digunakan untuk mengambil foto.
“Pada hujung minggu seperti Sabtu, Ahad dan musim cuti umum mahupun sekolah kawasan ini akan penuh sesak, Malah tempat parkir juga penuh,” beritahu Ramiyah Imus yang menjual permainan ‘bubble’.
“Tempat ini merupakan kawasan rekreasi yang memberi keseronokan terutama kepada kanak-kanak dan golongan remaja. Taman permainan kanak-kanak sentiasa penuh dan riuh dengan suara mereka,” ujar Dorina.
Ledakan ekonomi Bintulu semenjak tahun 1978 menyaksikan kawasan persekitaran Tanjung Batu telah mengalami transformasi pembangunan yang amat ketara. Jumlah pengunjung pada setiap minggu di kawasan ini dan sekitarnya menunjukkan taman-taman sentiasa diminati penduduk.
Kepesatan Bandar Bintulu sebagai Bandar Tenaga Sarawak turut meningkatkan jumlah penduduk dengan pantas. Bintulu Development Authority sebagai pentadbir pembangunan Bintulu perlu menambahkan lagi taman-taman rekreasi awam bagi kegunaan dan menampung jumlah penduduk Bintulu.