Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Keindahan Pantai Tanjung Batu; Ikon Rekreasi Bintulu

By 5 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

BINTULU,  5 Apr (Malaysiaaktif) – Pantai Tanjung Batu yang menghadap Laut Cina Selatan berlandskapkan tumbuhan hijau, pantai separa berbatu begitu menarik dan menjadi kemegahan warga Bintulu. Malah penduduk luar Bintulu seringkali  singgah kerana tertarik dengan panorama kawasan ini.

Nama pantai ini dikenal sebagai Tanjung Batu kerana terdapat singkapan batuan yang menganjur sepanjang tebingan pantai terdiri daripada batu pasir diselangi oleh batu lodak dan batu lumpur. Kebanyakannya batuan telah terluluhawa akibat perubahan geologi serta tindakanbalas ombak jutaan tahun yang lalu.

Pantai ini  merupakan destinasi riadah dan rekreasi paling popular dan  sentiasa sesak dengan pengunjung pada hari hujung minggu dan cuti umum. Ia telah popular semenjak Bintulu mengalami ledakan ekonomi pada tahun 1978 iaitu semasa pembinaan MLNG, Pelabuhan Bintulu dan industri berat yang lain.

Pantai Menghadap laut cina selatan dan sering menjadi lokasi menikmati matahari terbenam

Pantai Menghadap laut cina selatan dan sering menjadi lokasi menikmati matahari terbenam

Kedudukannya yang strategik separa di kelillingi oleh Taman Tumbina, Kelab Golf Bintulu dan juga berdekatan dengan Pusat Komersial Kemena, Bangunan BDA, Imperial Suites, Kompleks Boulevard, jalan pintas ke Tanjung Kidurong serta  kawasan rekreasi rentas rimba.

Mereka yang datang ke sini adalah untuk beriadah, menghilangkan penat, menatap panorama laut, pantai dan matahari terbenam, menyaksi deburan ombak menghempas pantai serta menikmati angin segar dari Laut China Selatan.

Walaupun pantainya tidak landai tetapi pembinaan beberapa buah pulau kecil untuk menghadang ombak begitu menarik pemandangan. Pulau-pulau kecil ini dapat dikunjungi  pada waktu air surut. Tujuan pembinaan pulau-pulau kecil ini adalah untuk mengurangkan hakisan pantai dan mengelak batuan daripada cepat terluluhawa.

Di samping itu  terdapat beberapa buah gerai yang menyediakan menu-menu ringan  termasuk makanan tempatan yang menyelerakan seperti  mee,  sate, ayam bakar serta  minuman ringan seperti berbagai jenis air cendol dan kelapa segar.

Gerai yang sentiasa dipenuhi oleh pengunjung menyediakan makanan tempatan

Gerai yang sentiasa dipenuhi oleh pengunjung menyediakan makanan tempatan

Sudah kerapkali kerja-kerja menaiktaraf dilakukan bagi mengindah dan menambahkan lagi kemudahan di sini memandangkan ia semakin diminati warga Bintulu dan pengunjung luar.

Antara yang dinaiktaraf ialah taman permainan kanak-kanak, gerai, tandas, laluan pejalan kaki dan tempat parkir dan pondok rehat.  Manakala kemudahan baru yang dibina pada tahun 2016 ialah laluan bulatan pejalan kaki bertingkat yang boleh digunakan untuk melihat panorama kaki langit dan matahari terbenam. Malah tempat ini popular digunakan untuk mengambil foto.

Suasana dan gelagat pengunjung yang hadir beriadah

Suasana dan gelagat pengunjung yang hadir beriadah

“Pada hujung minggu seperti Sabtu, Ahad dan musim cuti umum mahupun sekolah kawasan ini akan penuh sesak, Malah tempat parkir juga penuh,” beritahu Ramiyah Imus yang menjual permainan ‘bubble’.

“Tempat ini merupakan kawasan rekreasi yang memberi keseronokan terutama kepada kanak-kanak dan golongan remaja. Taman permainan kanak-kanak sentiasa penuh dan riuh dengan suara mereka,” ujar Dorina.

Ledakan ekonomi Bintulu semenjak tahun 1978 menyaksikan kawasan persekitaran Tanjung Batu telah mengalami transformasi pembangunan yang amat ketara. Jumlah pengunjung pada setiap minggu di kawasan ini dan sekitarnya  menunjukkan taman-taman sentiasa diminati penduduk.

Kepesatan Bandar Bintulu sebagai Bandar Tenaga Sarawak turut meningkatkan  jumlah penduduk dengan pantas. Bintulu Development Authority  sebagai pentadbir pembangunan Bintulu perlu menambahkan lagi taman-taman rekreasi awam bagi kegunaan dan menampung jumlah penduduk Bintulu.

-ER

Tinggalkan komen anda