Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Komunikasi Bersemuka Kekal Relevan Merentas Masa

By 12 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto : Mohd Zulfadli Ab Hamid / Suhaimi Nik Wil ( Kuala Krai )

KUALA KRAI, 12 Apr ( Malaysiaaktif ) – ‘Amalan Komunikasi Bersemuka’ merupakan kaedah terpenting dan utama bagi Jabatan Penerangan Malaysia dalam menyampaikan maklumat dasar-dasar kerajaan sejak diwujudkan lagi.

Amalan ini sangat penting untuk memberi kefahaman di samping menyelami rasa denyut nadi rakyat terutama masyarakat di luar bandar yang masih ramai kurang peka dengan media massa.

Amalan bersemuka ini diamalkan melalui pelbagai aktiviti seperti Program Ziarah Kasih, Lawatan Rumah ke Rumah, Syarahan Berencana, Sembang Warung, Pencernaan Minda dan sebagainya yang bertujuan mengeratkan jalinan hubungan jabatan kerajaan dengan masyarakat tempatan.

Aktiviti sebegini sangat penting dalam usaha kerajaan memasarkan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat luar bandar terutamanya.

Pegawai Penerangan Daerah Kuala Krai, Mohd Rozali Isa, 58, berkata Jabatan Penerangan sentiasa melaksanakan pelbagai aktiviti demi kepentingan rakyat.

“Kami di Jabatan Penerangan merancang dan mengadakan aktiviti hampir setiap bulan samada aktiviti berskala besar atau berskala kecil bergantung mengikut kesesuaian objektif program dan jumlah sasaran yang diperlukan bagi mencapai matlamat dan objektif program tersebut,” katanya.

Amalan Komunikasi Bersemuka, Pegawai SPR Negeri dan pelajar SMK Sultan Yahya Petra 1, demi pelapis pengundi negara di masa hadapan

Amalan Komunikasi Bersemuka, Pegawai SPR Negeri dan pelajar SMK Sultan Yahya Petra 1, demi pelapis pengundi negara di masa hadapan

“Sebagai contoh bagi mereka yang daif, kita adakan aktiviti berbentuk sumbangan yang kita namakan ‘Titik Sentuhan’ seperti yang kita adakan hari ini, kunjungan atau pertemuan bersemuka, di samping menyampaikan dasar-dasar kerajaan hari ini seperti kerajaan perihatin membantu dan memahami bebanan sara hidup rakyat, selain itu kami juga turut mengedarkan buku-buku dan poster yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia,” tambahnya.

“Pada sebelah pagi kami telah mengadakan ‘Program Amalan Demokrasi Berparlimen’ untuk Kelab Malaysiaku SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai di mana kami telah menjemput Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Kelantan untuk menyampaikan ceramah tentang amalan demokrasi dan turut mengadakan simulasi pilihan raya bagi memberi pendedahan kepada pelajar sebagai pelapis pengundi masa depan,” katanya lagi.

“Selesai program di sekolah, kami meneruskan amalan komunikasi bersemuka dengan mengadakan ziarah kasih ke rumah mereka yang kurang bernasib baik, program ini dibuat secara santai dengan objektif untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat di samping menghulurkan sedikit sumbangan, titik sentuhan,” kata Rozali lagi.

Mohamad Noor Deraman, 60, insan kurang upaya berkata sangat senang dan selesa berurusan dengan Jabatan Penerangan Daerah kerana sikap kakitangan yang mesra memudahkan beliau mendapatkan pelbagai maklumat.

“Maklumat boleh didapati samada melalui kakitangan atau perkhidmatan internet percuma yang disediakan khas kepada pengunjung Pejabat Penerangan Daerah,” katanya semasa menerima kunjungan dan sumbangan titik sentuhan berupa barangan dapur oleh Pegawai Penerangan Daerah Kuala Krai.

Menurut Siti Saniah Kadir, 48, berkata Jabatan Penerangan sering mengadakan program tanpa mengira musim-musim tertentu untuk menarik perhatian rakyat.

“Saya sering mengikuti program yang dianjurkan oleh Pejabat Penerangan Daerah kerana saya selalu dapat maklumat dari adik setiap kali program diadakan,” katanya.

Perpaduan dan keamanan yang kita kecapi sehingga hari ini patut disyukuri dengan hati sedalam-dalamnya kerana kekuatan amalan komunikasi bersemuka telah berjaya menghubung dan menjalin kekuatan perpaduan negara yang mewujudkan keamanan sedang kita kecapi hari ini.

– NAZ

Tinggalkan komen anda