
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus
LABUAN, 16 Apr (Malaysiaaktif) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM3,371,600 kepada para pelajar daripada keluarga asnaf fakir, miskin, fisabilillah dan muallaf bagi tahun 2019.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh, sebanyak RM1,481,600 diperuntukkan untuk bantuan am persekolahan dan RM1,001,800 untuk bantuan peralatan dan pakaian persekolahan.
“Peruntukkan bagi bantuan zakat pendidikan peringkat institut pengajian tinggi juga turut diagihkan iaitu sejumlah RM888,200.
“Selain bantuan secara terus, MAIWP turut memanfaatkan zakat untuk membangunkan institusi-institusi pendidikan bermula dari peringkat awal persekolahan kanak-kanak sehingga ke peringkat pengajian tinggi.
“Dengan cara ini, zakat dapat dimanfaatkan dengan lebih meluas untuk jangka masa yang lebih panjang,” katanya.
Beliau percaya ramai daripada kalangan anak-anak keluarga asnaf khususnya di Wilayah Persekutuan Labuan mendapat manfaat sepenuhnya melalui agihan zakat itu.
“MAIWP melihat kepentingan pendidikan sebagai ejen yang paling berpotensi untuk
mengeluarkan individu dan keluarga daripada kepompong kemiskinan.
“Dengan ilmu yang diperolehi, ia menjadi asas untuk mereka berjaya bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.
“Atas dasar kepentingan ilmu inilah, maka MAIWP komited dalam mengagih dan
memanfaatkan wang zakat ke arah mempertingkatkan pendidikan dan pembangunan modal insan anak-anak asnaf di Wilayah Persekutuan,” katanya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Akademik Pelajar Baitulmal Bagi Tahun 2018, baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai 68 penerima anugerah kecemerlangan akademik diraikan dan menerima sijil penghargaan beserta wang tunai antara RM150 hingga RM500 mengikut peringkat peperiksaan masing-masing dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM18,100.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Kanan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan, Sabarudin Hasan dan Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Ahmad Saifuddin Md. Tahir.