
Laporan/foto: Syamilah Yusman/Mohd Zahid Othman (Johor)
BATU PAHAT, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Penerangan (JAPEN) berperanan sebagai penghubung antara masyarakat dan agensi kerajaan bagi memastikan golongan yang memerlukan tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kehadiran pegawai JAPEN di lapangan membolehkan maklumat berkaitan individu yang memerlukan disalurkan kepada agensi berkaitan seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sistem eKasih menerusi inisiatif Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata terdapat individu yang berdepan pelbagai kesukaran termasuk masalah kesihatan, kehilangan punca pendapatan serta isu berkaitan waris dan tanah yang memerlukan perhatian segera.

Erwin (kanan) menyantuni golongan yang berdepan pelbagai kesukaran termasuk masalah kesihatan dan kehilangan punca pendapatan.
“Seperti kes yang kita baru ziarah, terdapat isu waris, isu tanah serta beberapa kes yang agak sukar. Sekurang-kurangnya kita dapat menghubungkan mereka dengan pihak JKM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi dua keluarga menerusi Program Ziarah Kasih, di sini semalam.
Fahmi turut menggesa pegawai penerangan daerah serta pegawai yang terlibat terus mengumpulkan maklumat masyarakat yang memerlukan agar bantuan dapat diselaraskan dan disampaikan oleh agensi bertanggungjawab.
“Lawatan seperti ini sangat penting dan saya berharap pada masa hadapan lebih banyak agensi dapat turun padang bersama Jabatan Penerangan bagi memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima bantuan,” katanya.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Erwin Khairul Ahmad dan Pengarah Penerangan Negeri Johor Mohd Rizal Hashim.
-RI




