
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Polis Johor
JOHOR BAHRU, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi memastikan proses pengundian awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung dalam keadaan selamat, lancar dan terkawal.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata seramai 3,565 petugas terdiri daripada 647 pegawai, 2,806 anggota dan 112 pegawai awam digerakkan bagi melaksanakan pelbagai tugas sepanjang proses pengundian awal.
Menurut beliau, penugasan itu meliputi kawalan keselamatan di pusat mengundi awal, pengiringan peti undi, kawalan lalu lintas, rondaan pencegahan jenayah, penugasan di bilik gerakan, pemantauan lokasi strategik serta penguatkuasaan undang-undang di semua kawasan terlibat.
“Proses pengundian awal akan melibatkan 64 pusat mengundi awal di seluruh Johor yang terdiri daripada 53 pusat mengundi awal PDRM dan 11 pusat mengundi awal Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, seramai 12,710 pengundi awal PDRM berdaftar dengan 12,067 orang akan mengundi di pusat mengundi awal pada 7 Julai, manakala 643 lagi akan menunaikan tanggungjawab melalui undi pos.
Ab Rahaman berkata pihaknya akan terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh sepanjang proses pengundian awal serta tempoh baki PRN Johorbagi memastikan ketenteraman awam terus terpelihara.
-RI





