
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Kota Setar)
ALOR SETAR, 28 Apr (Malaysiaaktif) – Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dilihat komited mewujudkan fenomena dalam mengadakan program larian, berjalan mahupun berkayuh untuk kesihatan.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Datuk Dr. Ismail Salleh, selain daripada mengamalkan senaman, amat penting agar rakyat lebih prihatin dalam pengamalan makanan yang sihat dan seimbang.
“Ini menunjukkan kesungguhan usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kesihatan dalam usaha menggalakkan rakyat untuk mencapai kesihatan yang baik.
“Program Karnival Walk ini misalannya telah dilancarkan oleh Perdana Menteri pada Disember lalu bertujuan agar masyarakat termasuklah penjawat awam agar mengamalkan senaman ringan 15 minit pada setiap pagi,” katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Karnival #Mai Pakat Sihat, di sini semalam.
Pegawai Kesihatan Daerah Kota Setar, Dr. Ishak Hussain yang mewakili Pengarah Kesihatan berkata Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan aktiviti bagi kawalan penyakit tidak berjangkit.
“Jabatan akan sentiasa memperkasakan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif,” katanya.
Program anjuran Jabatan Kesihatan ini telah disertai hampir seramai 500 orang wakil-wakil dari pertubuhan bukan kerajaan seluruh negeri ini.