Skip to main content
Berita TempatanKelantan

Ular Menyusur Akar, Tidak Akan Hilang Bisanya

By 26 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan & foto oleh: Wan Arif Fadhila bin Wan Yusof

TANAH MERAH, 26 Apr (Malaysiaaktif) – Peribahasa ini membawa maksud yang jelas terhadap konsep turun padang atau ‘ outreach’ dalam mendekati kumpulan sasar yang berada di kawasan pendalaman.

Program Komuniti Pakar Perubatan Keluarga Menyantuni Komuniti Penduduk Kampung Peralla telah diadakan di Dewan KESEDAR Kampung Peralla hari ini dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada sebahagian 450 orang penduduk kampung.

Pelbagai ruang pameran disediakan untuk dilawati penduduk kampung, antaranya pameran Unit Farmasi, Fisioterapi, Patologi, Konsultasi Doktor Pakar, Penyakit NCD, Penyakit CDC, Pemeriksaan ‘Pap Smear’, Perkhidmatan Perancang Keluarga, ‘Dass Screening’ dan Perkhidmatan Pergigian.

Program yang bermula dari pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang dan dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr. Zaini Hussin.

Kehebatan penganjuran pada kali ini ialah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah melibatkan seramai 22 orang doktor pakar dari seluruh negeri berkumpul di Kampung Peralla bagi memberikan khidmat nasihat dan kaunseling kepada penduduk kampung.

Puan Nabilah Bt Ismail,Ahli Farmasi Hospital Tanah Merah

Puan Nabilah Bt Ismail,Ahli Farmasi Hospital Tanah Merah

Acara turut diserikan dengan sesi bicara ilmiah iaitu forum kesihatan tentang penggunaan ‘supplement’ dalam kehidupan serta perawatan moden untuk penyakit kronik.

Puan Fatimah binti Daud,68, berkata “Mak Cik merasa gembira dapat jumpa doktor pakar ini kerana jarang ada doktor masuk kampung,” ujarnya semasa membuat saringan kesihatan.

Manakala Tuan Haji Saleh bin Omar, 70, yang mendapat rawatan penyakit jantung menyifatkan kehadiran doktor pakar ke kampung umpama ‘ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya’.

Beliau juga sangat mengalu-alukan program seperti ini kerana memberi manfaat kepada penduduk kampung untuk bertanya berkenaan penyakit yang dihidapi terus kepada doktor pakar bukannya Pembantu Perubatan atau MA (Medical Assintant).

“Melalui program ini penduduk kampung dapat mengenali bahan-bahan terlarang dan berbahaya yang terdapat di pasaran dan media sosial. Di samping itu juga kami memberi khidmat nasihat berkenaan ubat-ubatan, cara menyimpan ubat, mengenali ubat-ubat tiruan yang berada di pasaran,” ujar Puan Nabilah Ismail, Ahli Farmasi Hospital Tanah Merah.

Menurut Penyelia Program, Dr Shimila Aida Mohd Ali Janaf, program seumpama ini diadakan bagi mendekatkan masyarakat kampung dengan doktor pakar yang selama ini berada di hospital dan turun padang menyantuni penduduk kampung dengan memberi perkhidmatan terus kepada penduduk kampung.

“Melalui program ini juga penduduk kampung dapat mengetahui berkenaan Penyakit NCD iaitu penyakit tidak berjangkit dan CDC penyakit berjangkit,” tambah beliau lagi.

Harapan beliau melalui program ini dapat memberi impak yang berkesan kepada sebahagian 450 orang penduduk Kampung Peralla yang terdiri daripada penoreh getah, petani, peladang dan penternak mengenai penjagaan kesihatan dan gaya hidup sihat.

-NAZ
Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda