Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

By 7 Mei 2019Tiada komen4 minit bacaan

Laporan/foto: Hazlinah Samsir/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Menjaga alam sekitar sememangnya merupakan tanggungjawab bersama kerana kegagalan memelihara serta memulihara ekosistem pastinya akan mengakibatkan kepupusan ribuan spesies flora dan fauna.

Lebih teruk lagi, sikap acuh tak acuh masyarakat serta pengabaian tugas oleh pihak berwajib pasti mengundang masalah lain seperti kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Gambar Kenangan selepas aktiviti penanaman pokok di Teluk Likas.

Gambar Kenangan selepas aktiviti penanaman pokok di Teluk Likas.


Dalam kata lain, jika tanggungjawab melestarikan alam sekitar terus diabaikan, tidak mustahil tragedi Sungai Kim-Kim akan berulang.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis berkata masyarakat kini semakin peka tentang pencemaran yang berlaku di persekitaran mereka.

“Kita menerima beberapa aduan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai aktiviti-aktiviti meragukan di kawasan mereka terutamanya selepas tragedi Sungai Kim-Kim.

Isnaraissah (tiga dari kiri) membuang barang elektronik yang tidak digunakan lagi (e-waste) untuk dihapuskan dengan kaedah yang betul.

Isnaraissah (tiga dari kiri) membuang barang elektronik yang tidak digunakan lagi (e-waste) untuk dihapuskan dengan kaedah yang betul.


“Laporan seperti ini yang kita inginkan kerana masyarakat ialah mata dan telinga kita dalam menyiasat dan memantau laporan yang dibuat,” ujarnya.

Tambah beliau, berdasarkan pemantauan kualiti air pada tahun 2018, tiada sungai di negeri ini yang dikategorikan sebagai tercemar dan ia adalah satu usaha yang perlu diteruskan meski Sabah berhadapan dengan pembangunan industri pembuatan.

Suasana sekitar lawatan Isnaraissah ke gerai pameran JPAS dan mendengar taklimat dari Nurfaeziane (kanan) .

Suasana sekitar lawatan Isnaraissah ke gerai pameran JPAS dan mendengar taklimat dari Nurfaeziane (kanan) .

Menurut Isnaraissah, fenomena El Nino dijangka terus melanda Sabah sehingga Mei ini. Cuaca kering dan panas ini menyebabkan tumbuh-tumbuhan menjadi kering dan kebakaran hutan mudah berlaku.

“Kita perlu menjauhi aktiviti pembakaran terbuka yang bukan sahaja mengakibatkan pencemaran udara, malah berkemungkinan merebak di luar kawalan dan memusnahkan khazanah alam.

“Selain itu, pembakaran terbuka memberikan imej buruk kepada para pelancong yang datang ke negeri ini.

Isnaraissah menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil New Sabah Times sebagai salah satu penaja Sambutan Hari Bumi.

Isnaraissah menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil New Sabah Times sebagai salah satu penaja Sambutan Hari Bumi.

“Para petani dan peladang juga perlu menggunakan konsep ‘zero burning’ seperti yang diamalkan di ladang kelapa sawit serta menjadikan baja kompos sebagai alternatif pembakaran terbuka,” jelas Isnaraissah Munirah.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Kamarulnajuib Che Ibrahim menyatakan tiada individu di Sabah yang dikenakan tindakan bagi kesalahan pembakaran terbuka setakat ini.

Isnaraissah (duduk, tengah), Kamarulnajuin (duduk, dua dari kanan) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Dak Wah (duduk, dua dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan masyarakat yang hadir

Isnaraissah (duduk, tengah), Kamarulnajuin (duduk, dua dari kanan) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk David Dak Wah (duduk, dua dari kiri) bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan masyarakat yang hadir

Katanya, JAS juga mempunyai pelan tindakan pembakaran terbuka yang dianggotai beberapa agensi berkaitan kawalan pembakaran terbuka seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Tanah dan Ukur.

Dalam pada itu, Zulkhaime Aleakhber, 32, guru di Sekolah Kebangsaan Lambidan berkata sifat tanggungjawab dan cinta akan alam sekitar perlu dipupuk dari kecil lagi.

Zulkhaime, guru Kelab Alam Sekitar di SK Lambidan.

Zulkhaime, guru Kelab Alam Sekitar di SK Lambidan.

“SK Lambidan merupakan sekolah yang kecil dengan jumlah murid 36 orang sahaja. Namun begitu, kami menerapkan nilai tanggungjawab terhadap alam sekitar sejak pra-sekolah lagi.

“Kami bermula dengan program kecil yang diadakan di sekolah dan terus berkembang dengan mengadakan pelbagai aktiviti di luar seperti interaksi dengan masyarakat mengenai penjagaan alam sekitar.

SK Lambidan hadir memeriah gerai pameran sebagai contoh Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) yang berjaya.

SK Lambidan hadir memeriah gerai pameran sebagai contoh Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) yang berjaya.


“Antara perkara yang kami laksanakan ialah program anti kutu sampah dalam setiap aktiviti dan majlis dalam sekolah serta daerah Kuala Penyu dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Perasmian Hari Bumi 2019 di Teluk Likas.

Kata Zulkhaime, keberadaan mereka dalam majlis itu adalah untuk mempromosikan Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) dan menjadi contoh sekolah yang berjaya membudayakan penjagaan alam sekitar di Sabah.

Nurfaeziane, Pegawai Kawalan Alam Sekitar di JPAS.

Nurfaeziane, Pegawai Kawalan Alam Sekitar di JPAS.

Di samping itu, Nurfaeziane Nordin, 32, Pegawai Kawalan Alam Sekitar di Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) mendedahkan, sebanyak 700 buah sekolah di seluruh Sabah menyertai program itu pada tahun 2018 dan diharapkan jumlah tersebut akan terus meningkat. Menurutnya, kebanyakan komuniti sedar kepentingan ekosistem tetapi tidak ramai yang mengambil tindakan.

“Oleh yang demikian, JPAS komited mengunjungi daerah-daerah bagi memberikan pendedahan dan perkongsian seperti pendidikan alam sekitar untuk komuniti, program penanaman pokok dan program mengenai perubahan iklim.

“Di peringkat sekolah pula, selain SERASI, kami turut mengadakan Environmental Education Race (EER), Environmental Board Games selain ceramah bagi menarik minat sekali gus menerapkan ilmu alam sekitar kepada murid,” jelasnya.

Isnaraissah menyiram pokok yang ditanam menyampaikan mesej penanaman pokok dalam pemuliharaan alam sekitar.

Isnaraissah menyiram pokok yang ditanam menyampaikan mesej penanaman pokok dalam pemuliharaan alam sekitar.

Hari Bumi disambut pada setiap 22 April di seluruh dunia. Ia merupakan satu gerakan yang bermula di Amerika Syarikat sejak tahun 1970an bagi menyemai tanggungjawab serta meningkatkan kesedaran untuk melindungi bumi dan alam sekitar.

Tema sambutannya pada tahun ini ialah ‘Lindungi Spesis Kita’ yang membawa mesej melindungi spesies terancam seperti Gajah Pygmy, Orang Utan, Harimau Malaya dan Badak Sumatera.

Setiap spesies pula mempunyai peranan penting dalam rantai makanan dan keseimbangan ekosistem. Lantas, kepupusan spesies flora dan fauna yang berlaku adalah berhubung kait dengan aktiviti pencemaran alam sekitar, penggunaan bahan kimia dalam pertanian, penebangan hutan, pemburuan binatang secara haram serta perubahan iklim.

Oleh itu, pelbagai kempen telah diadakan bagi mengelakkan kemusnahan ini.  Namun, kerjasama dan tindakan masyarakat yang akan menentukan impaknya kerana setiap kita ialah khalifah yang diamanahkan menjaga muka bumi. 

EM

Tinggalkan komen anda