Skip to main content
Berita TempatanHomeLabuan

Kampung Kiansam Perintis Kampung Angkat IPD Labuan

By 7 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Kampung Kiansam menjadi kampung pertama atau perintis dalam Program Kepolisan Komuniti Kampung Angkat Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan.

Menurut Ketua Polis Labuan, Supt. Mohd Farid Ahmad, program bertujuan bagi membenteras kes jenayah terutamanya gejala penyalahgunaan atau pengedaran dadah dalam komuniti itu.

“Kita ingin pastikan penduduk di kampung ini tinggal dengan selamat dan bebas dari sebarang bentuk gejala tidak sihat serta mengurangkan kadar jenayah termasuk membenteras penyalahgunaan dadah di kawasan angkat.

“Pihak polis akan meletakkan seorang pegawai untuk bersama-sama dalam komuniti yang dikenali sebagai ‘Pegawai Perhubungan Kampung Angkat’ yang berperanan untuk bertukar-tukar pendapat atau maklumat dengan ketua kampung mengenai perlakuan jenayah yang mungkin berlaku.

“Program ini diharap berperanan mengurangkan kadar jenayah di Labuan sekaligus mewujudkan kesefahaman dan kebertanggungjawaban antara masyarakat serta polis,” katanya.

Tambahnya, program itu merupakan kesinambungan inisiatif Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah di mana Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah memilih 24 kampung dan dua taman perumahan sebagai kampung angkat dalam program tersebut.

“Bagi Labuan, empat lagi kampung yang bakal dipilih sebagai kampung angkat Polis ialah Saguking/Gersik, Rancha-Rancha, Kampung Muslim dan Penempatan UNHCR Kiansam,” katanya yang ditemui media selepas Melancarkan Program Kepolisan Komuniti Kampung Angkat, di Kampung Kiansam baru-baru ini.

Pada majlis itu juga, Beliau turut menyampaikan sijil Kampung Angkat kepada Ketua Komuniti Kampung Kiansam, Binsar Sabtula.

Hadir sama Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah, Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Supian Musa dan Timbalan Ketua Polis Labuan, DSP Ibrahim Mohd Ghani.

EM

Tinggalkan komen anda