
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Hotel Hyatt Centric yang akan siap pada tahun 2021 dijangka dapat memenuhi permintaan penginapan lima bintang di bandar raya ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apadal berkata hotel setinggi 22 tingkat itu menawarkan 220 bilik dan diuruskan olah Hyatt Hotel Corporation.
Menurutnya, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan atas usaha yang dibuat oleh Hap Seng Consolidate Berhad (Hap Seng) yang melabur RM270 juta untuk pembinaan hotel berkenaan.
“Kita berharap pelaburan oleh syarikat milik tempatan ini dapat meningkatkan ekonomi Sabah serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan pada masa akan datang.
“Kita juga yakin dengan pelaburan dalam bidang hospitaliti dapat meningkatkan tarikan dalam memenuhi permintaan syarikat pelancongan serta para pemain industri tempatan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Hotel Centric di sini, pada Ahad.
Hadir sama adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Pengerusi Hap Seng, Datuk Jorgen Bornhoft; Naib Presiden Kanan (Operasi) Asia Pasifik, Hyatt Hotel Corporation, Tom Smith dan menteri-menteri kabinet.