Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala Lumpur

Enam Ahli Parlimen Pegang Portfolio Majlis Menteri Wilayah Persekutuan

By 30 Mei 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Kyadizah Abd Hamid/Mohd Izzideen Khairi Zakaria (WPKL)

PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai enam orang Ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan di dalam pentadbiran kerajaan telah dilantik untuk memegang Portfolio Majlis Menteri Wilayah Persekutuan melalui Majlis Menteri yang ditubuhkan.

Mereka terdiri daripada Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiawangsa (Pendidikan), Fong Kui Lun, Bukit Bintang (Perlancongan, Seni dan Budaya), P.Prabakaran, Batu (Belia dan Sukan), Datin Paduka Dr. Tan Yee Kew, Wangsa Maju (Kesihatan dan Hal Ehwal Wanita), Lim Lip Eng, Kepong (Trafik dan Infra) dan Ahmad Fahmi Fadzil, Lembah Pantai (Sosial dan Pembangunan Ekonomi).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad menyatakan bahawa pelantikan ini bertujuan untuk membantu Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan fungsi-fungsi yang disebut dalam portfolio tersebut.

“Pelantikan ini sebagai memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka untuk mentadbir urus portfolio masing-masing,” katanya semasa sesi sidang media khas bagi memaklumkan pelantikan tersebut yang diadakan di Menara Seri Wilayah, Kementerian Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.

Menurut Khalid lagi, surat pelantikan telah diserahkan kepada setiap Ahli Parlimen berkenaan semasa mesyuarat Majlis Menteri yang diadakan di DBKL pada 27 Mei lalu.

“Dengan pelantikan ini, pihak kementerian berharap agar semua yang dilantik akan menjalankan tugas dengan baik bagi membantu portfolio masing masing dan dapat berhubung terus dengan badan dan agensi kerajaan yang terlibat,” tambahnya.

-SH

Tinggalkan komen anda