
Laporan/foto: Adawiyah Othman/Mohd Afnan Hakimi Abd Aziz (Marang)
MARANG, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Sambutan Hari Guru bertemakan “Guru, Obor Hemah Menyinari Pertiwi” kali ini menampilkan kelainan dan kreativiti yang ditonjolkan oleh para guru dan pelajar-pelajar seperti persembahan tarian kebudayaan masyarakat Cina.
“Inilah julung kalinya sambutan Hari Guru peringkat daerah yang mengetengahkan persembahan tarian kebudayaan masyarakat Cina selain budaya masyarakat Melayu,” demikian ucapan Ahli Dewan Negara, Datuk Haji Razali Idris ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Marang 2019 yang berlangsung di Dewan Utama Majlis Daerah Marang (MDM), Terengganu baru-baru ini.

Senator Datuk Haji Razali Idris bergambar bersama penerima Anugerah sempena Sambutan Hari Guru Daerah Marang 2019
Tarian Kipas atau San Wu yang dipersembahkan oleh murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Hwa, Wakaf Tapai memberi mesej bahawa kepelbagaian kebudayaan bangsa di Malaysia harus diperkembangkan dan dihayati dalam kalangan masyarakat kita.
Menurut tenaga pengajar tarian yang juga Guru Besar SJKC Chong Hwa sendiri, tarian ini adalah simbol keamanan dan kesejahteraan. Tarian ini mudah dan boleh dipelajari oleh semua kaum kerana kepelbagaian budaya adalah simbol kesatuan masyarakat di Malaysia.
“Tarian Kipas Cina pada suatu masa dahulu dianggap tarian simbolik mengagungkan dewi-dewi yang menjadikan kipas sebagai suatu keperluan dalam kehidupan mereka.
“Walau bagaimanapun, itu hanyalah kepercayaan kaum Cina dan menjadi simbol kebaikan untuk masyarakat,” katanya.
“Tarian ini sangat sesuai untuk dipelajari oleh masyarakat berbilang kaum terutamanya para pelajar sebagai menghormati budaya setempat,” katanya lagi.