Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

Komunikasi Bersemuka Mampu Tangani Sindrom Prejudis

By 22 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Norlida Abdullah/Shamsul Sulaiman

KULAI, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Sejajar dengan zaman teknologi media siber yang kini semakin menguasai cara penerimaan orang ramai bagi mendapatkan maklumat memang tidak boleh dipertikaikan lagi.

Pelbagai maklumat meliputi pelbagai aspek iaitu ekonomi, sosial, agama dan politik boleh diakses secara cepat dan percuma tidak kira di mana sahaja kita berada.

Cara mengakses maklumat secara terus dalam talian biasanya didominasi oleh Generasi X dan Y serta semua golongan secara amnya.

Apa yang menjadi isu kini bukanlah tentang bagaimana untuk mendapatkan maklumat tetapi yang menjadi kegusaran adalah bagaimana untuk mendapatkan maklumat yang tepat atau mengetahui maklumat yang didapati itu benar.

Kita sedia maklum tidak semua maklumat yang diperolehi itu adalah sahih, malah terlalu banyak penyebaran maklumat yang telah dipesongkan dan ada juga yang bersifat fitnah.

Penyebaran maklumat tanpa kawalan dan sekatan pada hari ini sebenarnya membuka ruang yang luas kepada masyarakat untuk berkongsi apa sahaja maklumat tanpa mengambil kira kesan positif mahupn negatif sekiranya tidak diurus dengan betul.

Kaedah bersemuka masih relevan untuk menghindarkan perasaan prejudis

Kaedah bersemuka masih relevan untuk menghindarkan perasaan prejudis

Generasi muda pada hari ini cenderung merujuk kepada maklumat yang diterima melalui media sosial dalam membuat sebarang keputusan serta mampu mempengaruhi cara mereka berfikir.

Perkara ini memberi ruang kepada pihak Jabatan Penerangan untuk berada di barisan hadapan supaya dapat menangkis beberapa maklumat dan berita yang tidak benar.

Sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan, kakitangan Jabatan Penerangan sentiasa berusaha untuk menangani masalah yang semakin menjadi nanah dalam kehidupan bermasyarakat agar perpaduan kaum di negara ini sentiasa terpelihara.

Walaupun media siber menjadi peneraju utama dalam penyampaian maklumat, komunikasi bersemuka masih dilihat sangat relevan dan mampu mengubah persepsi orang ramai tentang isu-isu yang diterima tidak selari dengan hakikat yang berlaku.

Sindrom prejudis masyarakat Malaysia kini dilihat agak tinggi terhadap kerajaan baru. Ini disebabkan oleh tersebarnya beberapa isu dan maklumat yang telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perkara ini turut dizahirkan oleh Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Chin semasa lawatan beliau ke Pusat Maklumat Rakyat (PMR) Daerah Kulai baru-baru ini.

Teo Nie Chin dan Tee Boon Tsong bersama Pegawai Penerangan Daerah Kulai, Norlida Abdullah (tengah)

Teo Nie Chin dan Tee Boon Tsong bersama Pegawai Penerangan Daerah Kulai, Norlida Abdullah (tengah)

Beliau menyokong usaha-usaha Jabatan Penerangan dalam membantu kerajaan memasarkan maklumat-maklumat kerajaan dengan cepat dan tepat.

“Saya yakin dengan program-program yang dirangka oleh Jabatan Penerangan dari masa ke semasa akan meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan hari ini,” katanya semasa lawatan tersebut.

“Walaupun kaedah lama, tapi saya percaya bahawa kaedah bersemuka dalam menyampaikan maklumat adalah lebih berkesan kerana kita mampu menangani sikap prejudis masyarakat,” ujarnya lagi.

Dalam menangani sebaran berita palsu, pengguna perlu memainkan peranan untuk tingkatkan tahap kesedaran diri terhadap kesan penyebaran berita yang tidak benar. Masyarakat bijak zaman teknologi moden pada hari ini wajar menyemak kesahihan berita di media sosial sebelum membuat perkongsian kepada orang lain.

Dalam pada itu, edaran kurma dan sampul duit raya turut diberikan kepada kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kulai semasa lawatan.

Turut serta dalam lawatan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Tee Boon Tsong.

EM

Tinggalkan komen anda