Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

‘Megey Poso’ Tradisi Asli Watan Kelantan

By 7 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: NorFadzlina Ahmad Fadzli/Che Nor Azian Yusof

KOTA BHARU,7 Mei (Malaysiaaktif)– ‘Megey Poso’ bermaksud sehari sebelum menjelang puasa Ramadan dan merupakan satu istilah klasik bagi gambaran suasana sambutan dan amalan masyarakat Kelantan dalam menyambut Ramadan.

Bagi meraikan ibadah puasa yang akan bermula dengan bersahur, masyarakat Kelantan akan membuat persiapan khusus dengan menyediakan lauk pauk yang istimewa.

Lauk pauk yang menjadi kelaziman tradisi serta kegemaran umum adalah lauk yang berasaskan daging lembu segar tempatan.

Hampir setiap keluarga akan berbelanja daging lembu segar tempatan untuk dimasak sebagai lauk atau menu utama bersahur pada malam pertama menjelang puasa.

Permintaan terhadap daging segar lembu tempatan menjadi sangat tinggi pada hari ‘Megey Poso’. Malah ianya dapat memberikan manfaat dan keuntungan yang lebih kepada peniaga daging segar tempatan.

Muhammad Hasbullah Hussin, 34, peniaga daging segar lembu tempatan di Jalan Sri Cemerlang mengesahkan, “kami telah menumbangkan tiga ekor lembu semalam semata-mata memenuhi permintaan pasaran pada hari ‘Megey Poso’.”

Muhammad Hasbullah Hussin, peniaga daging lembu

Muhammad Hasbullah Hussin, peniaga daging lembu

Menurut beliau, kuantiti ini melebihi jualan hari biasa iaitu 1 atau 2 ekor sahaja. “Hampir 200 kilogram daging merah yang dapat di jual daripada setiap ekor lembu yang dilapah dan permintaan daging lembu segar memang akan meningkat 40 peratus setiap kali ‘Megey Poso’ di Kelantan,” jelas beliau ketika ditemui MalaysiaAktif di gerai jualannya.

Tradisi ‘Megey Poso’ juga melibatkan persiapan pakaian untuk ibadah khususnya solat Terawih. Permintaan terhadap telekong solat wanita, sejadah, kurta dan kain pelikat turut meningkat.

Bagi Yahani Zakaria, 55, peniaga pakaian solat di Bazaar Tok Guru, berkata menjelang Ramadan permintaan terhadap telekong solat wanita dan kain pelikat lelaki sangat memberangsangkan.

“Permintaan meningkat sebanyak 30 peratus berbanding jualan pada hari-hari biasa. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Kelantan untuk membeli telekong dan kelengkapan solat yang baharu bagi menyambut Ramadan,” ujar beliau dengan senyuman lebar.

Peningkatan permintaan terhadap kedua-dua keperluan ini cukup menggambarkan bahawa masyarakat Kelantan sememangnya meraikan tradisi ‘Megey Poso’.

Malah ramai masyarakat Kelantan yang menetap di luar, pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut dan meraikan ‘Megey Poso’.

Kejadian kemalangan di Raub yang melibatkan 2 orang rakyat Kelantan dalam perjalanan ke Tumpat bagi meraikan ‘Megey Poso’ bersama keluarga membuktikan komitmen masyarakat Kelantan dalam meraikan tradisi dan suasana ‘Megey Poso’.

-NAZ

Tinggalkan komen anda