Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Klinik Kesihatan Kota Bharu Rawat 2,300 Pesakit Setiap Hari

By 7 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Wee Kim Been (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 7 Mei (Malaysiaaktif) – Klinik Kesihatan Bandar Kota Bharu merupakan satu-satunya klinik kerajaan yang terletak di pusat bandar serta lengkap dengan sumber tenaga serta peralatan medikal.

Lokasinya yang bersebelahan dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) memudahkan urusan kes-kes kritikal dan perlu dirujuk kepada hospital.

Walaupun klinik kesihatan dan pusat rawatan swasta semakin banyak di bandar Kota Bharu, namun perkhidmatan klinik kesihatan kerajaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menjadi pilihan sebahagian besar masyarakat di sini, khususnya golongan pertengahan dan B40.

Menurut Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bandar Kota Bharu, Dr. Zafira Mustapha, 35, purata dalam sehari hampir 2,300 pesakit menerima rawatan di klinik ini.

Angka ini adalah satu pencapaian dalam merealisasikan hasrat kerajaan serta KKM agar setiap lapisan masyarakat di negara ini mendapat rawatan terbaik dengan kos bayaran yang paling minimum iaitu RM1 sahaja bagi setiap transaksi pendaftaran.

“Caj pendaftaran RM1 yang dibayar oleh pesakit itu, membolehkan pesakit membuat aduan sekiranya berlaku kecuaian oleh pihak klinik,” jelas Zafira.

Jururawat sentiasa bersedia berkhidmat untuk semua masyarakat.

Jururawat sentiasa bersedia berkhidmat untuk semua masyarakat.

“Ini kerana mengikut Perintah Fi (Perubatan) 1982, dari segi perundangan (Medico-Legal) pesakit yang mendapat perkhidmatan percuma adalah tidak layak mengemukakan sebarang aduan berkaitan perkhidmatan yang diterima secara percuma daripada mana-mana pihak,” tambahnya lagi.

Antara perkhidmatan ditawarkan klinik ini, seperti pemeriksaan jantung, darah tinggi, kandungan gula dalam darah, fisioterapi, pap smear, pemeriksaan kesihatan untuk ibu dan anak, perkhidmatan rawatan pergigian serta kaunter penerimaan ubatan percuma selepas rawatan.

“Klinik beroperasi setiap hari dari pukul 8.00 pagi sehingga 9.30 malam, dengan keupayaan tiga orang pakar perubatan serta pakar kanak-kanak, pakar pemakanan serta pakar pergigian,” kata Zafira lagi.

Menurut beliau, sekiranya pesakit menghadapi kekangan kewangan yang kritikal, pihak klinik kesihatan akan terus membuat rujukan serta aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri untuk tindakan susulan dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh pesakit.

“Bagi pesakit yang kritikal dan memerlukan rawatan susulan pakar ianya akan dirujuk terus ke HRPZII Kota Bharu atau Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian (HUSM) untuk rawatan susulan selanjutnya,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang pesakit yang mendapatkan rawatan bagi penyakit darah tinggi di klinik tersebut, Tan Kim Chit, 82, menyatakan bayaran RM1 itu amat besar nilainya berbanding kemudahan rawatan disediakan kepada orang ramai sepertinya.

Lijah Jusoh, 52, menghidap penyakit asma serta kencing manis, berkata klinik kerajaan menjadi pilihan serta keutamaanya setiap kali mendapatkan rawatan, kerana bayaran RM1 sahaja, berbanding klinik swasta yang lebih mahal kos rawatan dan ubatannya.

“Saya tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta dengan keadaan kos sara hidup yang semakin membebankan, jumlah isi rumah keluarga yang ramai, maka mendapatkan rawatan di sini merupakan satu rahmat,” kata ibu kepada enam anak ini.

-NAZ

Tinggalkan komen anda