
Laporan/ foto: Mastika Hablum / Khairul Annuar Zulkernain
ALOR GAJAH, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah melalui Kelab Malaysiaku SMK Dato Dol Said serta SMK Durian Tunggal dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Negeri Melaka telah mengadakan Program Amalan Demokrasi Berparlimen di Malaysia. Program yang dijalankan ini bertujuan untuk memberi pengenalan dan gambaran kepada para pelajar Kelab Malaysiaku mengenai proses pilihan raya di Malaysia serta memberi gambaran tentang cara untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang warganegara Malaysia yang cinta akan negara.
Menurut Penolong Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia Negeri Melaka, Razif Joraimi, program ini diadakan untuk memberi maklumat kepada para pelajar mengenai fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak terhad kepada menjalankan pilihan raya sahaja. Katanya, Suruhanjaya Pilihan Raya turut berfungsi untuk mengurus daftar pengundi dan membuat kajian mengenai persempadanan semula bahagian pilihan raya di Malaysia. “Pengurusan pilihan raya yang berkesan amat penting untuk memastikan aspirasi dan harapan rakyat dapat ditunaikan dan rakyat perlu diberi pengetahuan mengenai perjalanan proses pilihan raya untuk memastikan semua pihak dapat bersama dan berusaha untuk mendukung konsep demokrasi di negara ini”, ujarnya.
Salah seorang pelajar yang ditemu bual, Nur Shazwana Ramli, 17 berkata, beliau teruja untuk menyertai dan merasai sendiri perjalanan pilihan raya di negara ini. “Pengalaman yang diperoleh melalui program ini amat bernilai bagi saya. Selama ini saya hanya tahu mengenai pilihan raya melalui media massa sahaja dan hari ini saya sendiri berpeluang untuk memangkah dan membuang undi seperti pengundi yang berdaftar dalam Pilihan Raya Umum yang lepas.”
Selain itu, menurut Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku SMK Dato Dol Said, Noraini Hashim, pengalaman seperti ini jarang didedahkan kepada pelajar sekolah dan sesi pengajaran ko-kurikulum seperti ini perlu diperbanyakkan lagi pada masa hadapan.
Program yang dijalankan ini di Dewan SMK Dato Dol Said Alor Gajah telah dihadiri seramai 100 orang pelajar dan guru penyelaras kelab. Taklimat mengenai fungsi SPR dan perjalanan pilihan raya telah disampaikan oleh kakitangan SPR Negeri Melaka dan turut dihadiri Pegawai Penerangan Daerah Alor Gajah, Salina Hasan@Abd Rashid.