Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Menteri Besar Pandang Serius Ugutan Terhadap Penguatkuasa

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid (Gombak)

GOMBAK, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyifatkan ancaman dan ugutan terhadap penguatkuasa merupakan isu serius dan berharap supaya kes terbabit disiasat dengan teliti.

Amirudin berkata beliau memandang serius kejadian rumah Pengarah Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Norhayati Ahmad dibaling cat dan molotov cocktail dalam dua insiden berasingan pada 28 April dan 13 Mei lalu.

Menurut beliau, kejadian tersebut perlu disiasat dengan teliti kerana ianya turut berlaku di kawasan lain di negeri Selangor.

“Kejadian yang harus disiasat dengan teliti kerana terdapat beberapa kes yang hampir sama berlaku melibatkan ugutan dan gangguan terhadap penguatkuasa menjalankan tugas,” katanya.

Menurut Amirudin, beliau telah berjumpa dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin untuk membincangkan tindakan menangani masalah gengsterisme tersebut.

“Saya akan bawa perkara ini ke dalam Mesyuarat Keselamatan Negeri dan akan mencadangkan kepada pihak Persekutuan untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Gangsterisme ini yang mengugut dan menakutkan pegawai penguatkuasa sebagai satu perkembangan yang tidak sihat. Jika tidak undang-undang tidak dapat ditegakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Selayang Baru, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata, isu gengsterisme ini perlu dibawa ke perhatian peringkat Kerajaan Persekutuan dengan menyemak semula undang-undang sedia ada untuk dikuat kuasa atau perlu ditambah baik.

“Cadangan menyediakan senjata kepada penguat kuasa bukan perkara pokok kerana masalah utama yang perlu diselesaikan adalah menyekat gejala gengsterisme.

“Penyediaan senjata boleh dilakukan tapi tindakan gengsterime yang mengancam keselamatan awam perlu lebih diberikan penekanan dan ia tidak sepatutnya berlaku.

“Saya gesa pihak luar jangan takut untuk ke depan jika diancam. Ia penting untuk menjaga keselamatan dan pelihara undang-undang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, kejadian rumah Pengarah Penguatkuasa MPS yang baru dua bulan menjawat jawatan tersebut disimbah cat dan dibaling molotov cocktail pihak tidak bertanggungjawab.

Berikutan itu, polis telah menangkap sepuluh individu dalam dua dua tangkan berasingan selain mengesa seorang lelaki bergelar ‘Man Puchong’ tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak bagi mambantu siasatan.

Suspek tersebut berusia 19 hingga 57 tahun ditahan reman untuk membantu siasatan dipercayai ada kaitan dengan tindakan tegas MPS menangani isu pelupusan sampah haram di Kampung Sungai Tua, Batu Caves.

-NAZ

Tinggalkan komen anda