Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Kes Ugutan Pengarah MPS, 10 Direman

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Selangor)

SHAH ALAM, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 10 individu termasuk dua wanita dan seoramg warga asing ditangkap susulan kejadian ugutan terhadap Pengarah Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisiner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dalam dua tangkapan berasingan beberapa hari lalu.

“Tangkapan pertama dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak pada 15 Mei sekitar 2.45 petang, melibatkan lapan lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia berumur antara 22 hingga 57 tahun.

“Manakala tangkapan kedua pula melibatkan dua wanita berumur 46 dan 19 tahun pada 17 Mei, pada pukul 4.30 pagi bagi membantu siasatan. Kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Menurut Fadzil, semua suspek kini ditahan reman membantu siasatan dibawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan (bencana dengan api) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (bencana).

“Siasatan awal mendapati, beberapa orang suspek telah menyatakan mereka diupah untuk menyerang rumah mangsa.

“Motif dipercayai atas tindakan tegas yang diambil oleh pihak MPS bagi menangani masalah pembuangan sampah di tapak pelupusan haram di Kampung Sungai Tua, Batu Caves,” jelas beliau.

Sehubungan itu, Fadzil berkata seorang lelaki Melayu bernama Jafni Bin Abdullah @ Mohd Yusoff atau digelar sebagai ‘Man Puchong’ untuk tampil dengan segera berjumpa pegawai penyiasat kes di JSJ IPD Gombak bagi membantu siasatan.

“Pihak polis tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas individu atau kumpulan yg mengambil pendekatan kekerasan dan membahayakan orang ramai bagi menyelesaikan sesuatu masalah atau isu,” katanya.

Sebelum ini, pihak polis menerima laporan polis berikutan dua kejadian ugutan terhadap Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPS, Norhayati Ahmad pada 28 April dan 13 Mei lalu dengan menyimbah cat merah dan membakar bahan mercun ke dalam kawasan rumah mangsa.

-NAZ

Tinggalkan komen anda