Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanHomeJohor

Muzium Kota Tinggi Pamer Artifak Ratusan Tahun

By 21 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Shahqrul Azim Shaari/Nurulaini Mohd Kasran (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 21 Mei (Malaysiaaktif) – Sejarah Daerah Kota Tinggi telah bermula sejak 491 tahun yang lalu. Sejak tahun 1528 persisir Sungai Johor telah menjadi saksi kepada kewujudan Kerajaan Johor Lama.

Kisah tragis kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang pada tahun 1699 telah mengubah sejarah Kota Tinggi. Rentetan daripada peristiwa ini, Pusat Pentadbiran Kerajaan Johor Lama tidak lagi wujud di persisir Sungai Johor sebaliknya bertapak di Pulau Penyengat dan Pulau Lingga, yang kini berada dalam Negara Indonesia.

Tembikar Lama yang ditemui di dasar sungai turut dipamerkan di sini.

Tembikar Lama yang ditemui di dasar sungai turut dipamerkan di sini.

Sungguhpun peristiwa ini telah lama berlalu, segala catatan sejarah dan bukti kewujudan Kerajaan Johor Lama ini masih lagi dipelihara dengan baik di Muzium Kota Tinggi yang terletak di Kampung Makam yang menyimpan khazanah berusia ratusan tahun untuk tatapan generasi masa kini.

Menurut Pembantu Muzium Kota Tinggi Azhar Dolkadir, 35, pelbagai jenis barangan sejarah dipamerkan kepada umum antaranya keris, istinggar, lembing, tembikar-tembikar dan kepingan wang syiling lama.

“Tidak semua barangan peninggalan sejarah yang dijumpai boleh dipamerkan kepada pengunjung, ini kerana terdapat barangan yang akan reput jika terdedah kepada udara dan cahaya terlalu lama, contohnya seperti sesetengah keris-keris lama yang diperbuat daripada campuran besi-besi, tahi bintang dan larva gunung berapi” ujarnya.

Koleksi keris lama turut dipamerkan.

Koleksi keris lama turut dipamerkan.

Seorang pengunjung yang ditemui, Siti Maznah Makaddas Ali, 46, berpendapat usaha yang dilakukan oleh Muzium Kota Tinggi ini adalah bertepatan dengan Slogan Daerah Kota Tinggi iaitu “Bermulanya Di Sini 1528”.

“Orang ramai berpeluang untuk mempelajari mengenai sejarah kewujudan Daerah Kota Tinggi ini dan melihat sendiri artifak-artifak yang dipamerkan, saya berharap lebih ramai lagi pengunjung yang akan datang bagi menyaksikan khazanah berharga ini,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk mengunjungi muzium ini, ianya dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Khamis bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 4.30 petang dan masuk adalah percuma.

-SH

Tinggalkan komen anda