Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

Perlis Catat RM8.06 Bilion Nilai Dagangan Tahun Lalu

By 13 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto : Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 13 Mei (Malaysiaaktif) – Negeri Perlis telah mencatatkan nilai dagangan berjumlah RM8.06 bilion dengan nilai eksport RM3.99 bilion pada tahun 2018.

Peralatan mesin dan pengangkutan, produk makanan serta pembuatan barangan telah menyumbang hampir 77 peratus daripada nilai eksport tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking berkata dalam sektor pembuatan, jumlah yang diluluskan kepada negeri ini pada tahun lepas berjumlah RM8 juta iaitu melibatkan satu projek dalam sektor pembinaan dan pembaikan kapal.

“Sehingga Disember 2018 pula, sejumlah 50 projek pelaburan bernilai RM1.05 bilion telah dilaksanakan di negeri ini dalam produk mineral bukan logam, produk berasaskan plastik dan getah,” ujarnya ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, di Kompleks Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

Darell Leiking berkata, lawatan kerja ini merupakan platform pertemuan antara pihak Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bertujuan untuk membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan perindustrian, pelaburan dan perdagangan.

“Perjumpaan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan pusat untuk mengukuhkan kerjasama dengan semua negeri walaupun berlainan parti demi untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Darell (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Azlan sempena lawatan kerjanya ke Perlis siang tadi.

Darell (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Azlan sempena lawatan kerjanya ke Perlis siang tadi.

Darell turut membincangkan usaha-usaha yang diambil oleh MITI untuk melaksanakan polisi Industri 4.0 yang dijenamakan sebagai Industri 4WRD bagi mengukuhkan lagi sektor pembuatan dan perkhidmatan.

“Dalam mengukuhkan lagi kerajaan sedang dalam proses awal untuk mengubal Pelan Perindustrian Baharu yang akan menentukan hala tuju strategik pembangunan sektor pembuatan, perkhidmatan dan perdagangan industri negara bagi tempoh dari tahun 2021 hingga 2031,” tambahnya.

Terdahulu Darell dan Azlan diberi taklimat pembentangan Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pasific Parnership (CPTPP) dan perbincangan isu-isu pembangunan negeri di Bilik Mesyuarat Utama yang melibatkan pegawai-pegawai dari MITI dan kerajaan negeri.

Sementara itu, Azlan memaklukan bahawa pertemuan dengan Menteri MITI itu juga turut menyentuh isu-isu penting bagi memantapkan lagi ekonomi Perlis.

“Kami juga mengadakan perbincangan lanjut mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas seperti Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang masih dalam peringkat rundingan di antara 16 buah negara dan CPTPP yang belum diratifikasikan oleh Malaysia.

“Kerajaan negeri dan MITI juga bersetuju agar semua Perjanjian Perdagangan Bebas yang bakal ditandatangani kelak dapat menawarkan peluang perdagangan yang adil dan membawa manafaat kepada semua rakyat di Malaysia,” kata Azlan lagi.

-SH

Tinggalkan komen anda