Skip to main content
MA

Pertanian Adalah Perniagaan: Bermula Dengan Hobi, Kini Jana RM 25 Ribu Sebulan

By 28 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto : Zaid Ahmad (Kelantan)

KUALA KRAI, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Tragedi Bah Kuning 2014 yang menenggelam Bandar Kuala Krai serta memusnahkan seluruh tanamannya tidak mematahkan semangat Mohd Shakri untuk terus gigih mengusahakan penanaman sayur di Kampung Enggong Kuala Krai.

Kegigihan beliau yang bermula dengan hobi mengusahakan tanaman sayur bersama isteri sejak tahun 2006 di atas sebidang tanah terbiar, ternyata membuahkan pulangan lumayan dengan pendapatan semasa mencecah RM25 ribu sebulan hasil jualan sayur dari kebunnya sendiri.

Mohd Shakri Mahmod, 43, usahawan sayur berjaya menceritakan pengalaman yang dilaluinya sepanjang berkecimpung dalam bidang pertanian, sejak 13 tahun lalu.

“Dulu saya hanya tanam sayur sekadar hobi dan untuk keperluan sendiri, jika ada lebihannya akan dijual di sekitar kampung. Untuk berada pada tahap sekarang banyak cabaran yang terpaksa dihadapi terutama semasa bencana banjir 2014 yang memusnah hampir kesemua tanaman dengan kerugian yang besar, melebihi RM 50 ribu,” jelasnya tenang.

Jentera pembajak tanah yang disumbangkan oleh Jabatan Pertanian

Jentera pembajak tanah yang disumbangkan oleh Jabatan Pertanian

Beliau menambah, melihatkan potensi dan sambutan penduduk yang menggalakkan, pada tahun beliau mula mengembangkan tanaman sayuran ini dengan menyewa tanah sawah terbiar seluas lima ekar di kampung ini sebagai tapak bercucuk tanam.

Antara sayur-sayuran yang di tanam ialah kacang panjang, mentimun, cili besar, kacang bendi dan terung. Hasil tanaman ini dijual sendiri di Pasar Borong Kuala Krai serta pelanggan tetapnya di sekitar bandar ini.

“Saya mendapat bantuan teknikal dan peralatan dari Jabatan Pertanaian Kuala Krai (JPKK), mereka banyak membantu memberi khidmat nasihat di dalam usaha penanaman dan pengurusan tapak yang sistematik,” jelas Mohd Shakri.

“Sehingga kini hampir RM100 ribu bantuan oleh JPKK yang berupa peralatan pertanian iaitu sebuah jentera pembajak tanah, overhead sprinkler, sebuah pam air dan lain-lain,” tambah Mohd Shakri lagi.

Beliau turut menzahirkan jutaan terima kasih kepada semua pegawai JPKK dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di atas segala bentuk bantuan yang diterima sehingga menjadi salah seorang usahawan tani di daerah ini serta mampu memiliki sebuah rumah tempat tinggal dan kenderaan lebih dari apa yang diimpikan selama ini.

Kini beliau juga sedang berjinak-jinak dalam penternakan lembu daging dan telah memiliki lima ekor induk betina jenis Charolie.

Ditanya mengenai rancangan masa depannya, beliau berkata akan terus bergiat aktif di dalam bidang pertanian dan penternakan kerana dapat membantu kerajaan mengurangkan import sayur-sayuran dan daging lembu segar dari luar negara di samping pendapatannya yang cukup lumayan serta stabil sepanjang tahun.

-NAZ

Tinggalkan komen anda