Skip to main content
Berita TimurHomePahang

TLDM Pantau Samudera Negara

By 28 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Pai Syahira (Pahang)

KUANTAN, 28 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Pertahanan,  Mohamad Sabu memberi jaminan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mempertingkatkan pemantauan dan rondaan pada musim perayaan Aidilfitri bagi memastikan keselamatan perairan negara terkawal.

“Rondaan itu termasuk bagi mengelakkan perairan negara digunakan secara sewenang-wenangnya oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk pulang ke negara mereka,” ujar Mohamad Sabu.

Berikutan itu, katanya Kementerian Pertahanan memandang serius dan mengambil berat isu PATI dan isu ini turut dibincangkan dalam mesyuarat khas Kabinet.

Selain itu, rondaan akan dipergiat secara bersepadu melibatkan pasukan keselamatan lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen selain Tentera Laut Diraja Malaysia.

Barisan anggota bersiap iftar di KD Pahang meneruskan tradisi makan talam.

Barisan anggota bersiap iftar di KD Pahang meneruskan tradisi makan talam.

Ketika diminta mengulas mengenai penyertaan pelbagai bangsa dalam pasukan keselamatan negara, beliau menggalakkan orang ramai untuk bersama-sama menyertai dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Tiada diskriminasi kaum dalam penyertaan pasukan keselamatan negara, semua bangsa digalakkan menyertai lagi-lagi pasukan TLDM, bahkan dalam sejarah negara, Panglima Tentera Laut pertama diketuai bangsa India iaitu Tan Sri Datuk Seri K.Thanabalasinggam,” ujar beliau menyeru anak muda di seluruh Malaysia untuk menyertai pasukan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Latihan Tioman War 3/19 yang berlangsung bermula Ahad melibatkan sembilan kapal TLDM mencapai objektif bagi menilai aset tempur yang terlibat berfungsi sebaiknya dan kesiapsiagaan anak kapal menghadap konflik peperangan.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Berbuka Puasa bersama pasukan armada negara dan Penyampaian Bungkusan Hari Raya kepada anggota bertugas pada Syawal bertempat di atas Kapal KD Pahang di perairan Laut China Selatan, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Mohd Zuki Ali, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Wilayah Laut 1, Laksamana Muda Abu Bakar Mohd Ajis.

Pasukan TLDM solat berjemaah bersama Menteri Pertahanan Malaysia.

Pasukan TLDM solat berjemaah bersama Menteri Pertahanan Malaysia.

 

-KN

Tinggalkan komen anda