Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Program My Best Buy Bermanfaat Pada Pengusaha, Pembeli

By 26 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Penganjuran program My Best Buy anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak 2014 memberi manfaat kepada semua khususnya pengusaha dan pembeli.

Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan Usahawan), Basri Josmo berkata program tersebut membantu petani dan penternak memasarkan produk terus kepada pengguna tanpa menggunakan orang tengah dengan harga berpatutan.

Menurutnya, ia secara tidak langsung turut membantu pengguna menangani isu kos sara hidup dengan penjimatan antara lima hingga 20 peratus dari harga pasaran.

“My Best Buy program bergerak di lokasi-lokasi terpilih bergantung kepada permintaan penduduk setempat. Sekiranya mendapat sambutan memberangsangkan, ia akan diadakan secara bulanan di lokasi sama.

“Program ini melibatkan penjualan produk segar ladang kontrak, bazar peduli rakyat dan harga runtuh pada waktu ‘happy hour’ ,” katanya.

Basri dan Sany meninjau produk jualan pengusaha di program My Best Buy Pra-Aidilfitri di Bandar Baru Selayang Fasa 2B.

Basri dan Sany meninjau produk jualan pengusaha di program My Best Buy Pra-Aidilfitri di Bandar Baru Selayang Fasa 2B.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program My Best Buy Pra-Aidilfitri yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan di perkarangan Surau Nur Al Syura, Bandar Baru Selayang Fasa 2B hari ini.

Mengulas lanjut, Basri berkata My Best Buy Pra-Aidilfitri masih berbaki di enam lokasi, menyusul adalah di Stadium Melawati Shah Alam esok (Ahad) yang akan dirasmikan Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim.

“FAMA akan mengemas kini lokasi penganjuran My Best Buy menerusi hebahan di akhbar-akhbar, saluran media sosial dn edaran risalah di kawasan terlibat.

“Kita berusaha melibatkan lebih banyak penyertaan daripada petani dengan matlamat mereka mendapat hasil lebih dari sepatutnya di samping pengguna juga mendapat penjimatan,” katanya.

Sementara itu, Sany yang juga Ahli Lembaga Pengarah FAMA berkata sekurang-kurangnya 20 gerai dibuka pada pelancaran mini My Best Buy Pra-Aidilfitri di Selayang untuk kemudahan penduduk mendapatkan barangan keperluan perayaan.

“Hari ini pembeli berpeluang menikmati tawaran harga berpatutan barngan seperti kerepek, biskut raya, buah-buahan dengan harga lebih rendah dari pasaran. Turut ditawarkan harga ayam standard RM6.90 berbanding RM7.50 di pasaran.

“Saya harap program seumpama ini diperbanyakkan bagi memudahkan pengguna mendapatkan keperluan makanan dan bahan mentah yang berkualiti dengan harga berpatutan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda