Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

RM1.9 Juta Untuk Masjid dan Surau Laksana Ihya Ramadhan

By 1 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 1 Mei (Malaysiaaktif) – Sejumlah RM1.9 juta diagihkan kepada masjid dan surau seluruh parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa bagi melaksanakan program dan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata penyaluran sumbangan tersebut merupakan dasar kerajaan Selangor sejak beliau menjawat jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Ini merupakan dasar kerajaan Selangor sejak saya memegang jawatan Menteri Besar (Selangor) sebelum ini, membantu masjid dan surau menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadhan.

“Tujuannya untuk melihat masjid dan surau menjadi sebuah institusi yang dapat membangkitkan semula umat Islam bagi menghadapi cabaran pada masa ini,” katanya yang merupakan Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadhan kepada 20 buah Masjid dan 133 surau di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati, di sini pagi tadi.

Mengulas lanjut, Azmin menyarankan agar masjid dan surau menjadi tempat menjana ekonomi di sesuatu kawasan, bukan sekadar tempat beribadah sahaja.

“Masjid dan surau bukan sekadar tempat beribadah, keilmuan dan budaya tetapi menjana sumber ekonomi umat Islam di sesuatu kawasan seperti menubuhkan koperasi dan pusat menjana ekonomi.

Masjid lama yang tidak mempunyai kemudahan kawasan yang luas, kita mengalakkan belia-belia menggarap teknologi baru seperti Artificial Intelligence (AI) dan e-perniagaan.

“Umat Islam tidak mempunyai pilihan selain mendakap segera teknologi-teknologi baru ini untuk memperkasakan digital ekonomi demi kemajuan umat Islam.,” katanya.

Selain itu, Azmin turut menyeru agar semua pihak menjadikan bulan Ramadhan sebagai titik untuk penyatuan ummah dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Azmin (hadapan dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Ihya Ramadhan kepada wakil masjid dan surau parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

Azmin (hadapan dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Ihya Ramadhan kepada wakil masjid dan surau parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa.

“Ramadhan adalah tempat untuk kita kembali semula mengilap idealisme perjuangan, nilai-nilai murni dan saling hormat menghormati kerana Islam adalah satu agama yang cukup indah dan harmoni.

“Kalau kita memahami Islam yang sebenar, kita tidak akan terjebak dalam gerakan radikal atau ekstremisme yang boleh mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam sesuatu masyarakat.

“Ramadhan adalah masa terbaik umat Islam membersihkan kerohanian, pemikiran dan nilai-nilai murni agar mampu membangkitkan agama Islam dan menjadi contoh kepada orang lain,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda