
Laporan/foto: Eviannie Kin/Johnny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Rumah Anak Yatim dan Asnaf di Kampung Silad Ranau yang terletak di luar bandar menjadi destinasi pilihan Jelajah Ramadan Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM) bagi mendekati dan menyantuni golongan kurang bernasib baik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berkata, perkembangan ini sesuatu yang positif dan wajar diteruskan malah perlu diperbanyakkan lagi bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja.
“Saya berharap program yang diadakan saban tahun ini membolehkan RTM menjelajah ke pelosok kampung-kampung dan kawasan pedalaman.
“Dengan turun padang ke lokasi-lokasi ini, kita akan mendapat maklumat di peringkat akar umbi seperti masalah dan kehidupan rakyat yang boleh diketengahkan untuk tindakan pihak berkenaan.
“Saya juga berharap, RTM melalui pelbagai medium penyiaran dapat membantu kerajaan negeri dan semua menteri kabinet untuk menyebar luas visi dan misi baharu kerajaan dan kementerian masing-masing,” katanya sempena Majlis Pelancaran Program Jelajah Ramadan RTM Sabah 2019.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong di Lobi Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di sini, pada selasa.

Jaujan (kanan) memberi isyarat bagus sempena Majlis Pelancaran Program Jelajah Ramadan RTM Sabah 2019.
Sementara itu, Pengarah Penyiaran Sabah, Malinaziah Datu Mohd Julaspi berkata keadaan rumah anak yatim dan asnaf tersebut serba kekurangan dan sememangnya memerlukan bantuan sewajarnya.
“Sejak 9 Mei lepas, warga RTM Kota Kinabalu menjalankan aktiviti gotong royong membaik pulih asrama perempuan, mengecat asrama lelaki dan perempuan, membuat pendawaian elektrik dengan bantuan pelajar Akademi Bina Malaysia (ABM), membaiki sistem perparitan, memasang lampu jalan sekitar kawasan asrama, memasang kipas, menyediakan almari dan rak buku, mengganti tikar di asrama dan menyediakan kelengkapan lain untuk kegunaan kira-kira 40 penghuni Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad Ranau.
“Ini termasuk mewujudkan perpustakaan mini, membina reban ayam dan menanam 10 pokok buah-buahan di sekitar kawasan rumah anak yatim tersebut,” katanya.