Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Sultan Sharafuddin Berkenan Rasmi Masjid Al Falah

By 22 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Al-Falah, Taman Tun Teja di sini sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya, hari ini.

Ketibaan baginda pada kira-kira pukul 6.15 petang diiringi bacaan selawat disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Amirudin Shari dan pemimpin setempat.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan bantuan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM215,500 kepada 431 asnaf fakir, miskin dan mualaf di daerah ini.

Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 431 asnaf fakir, miskin dan mualaf dari daerah Gombak di Masjid Al Falah, hari ini.

Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 431 asnaf fakir, miskin dan mualaf dari daerah Gombak di Masjid Al Falah, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM32,500 diserahkan kepada 65 asnaf fakir, manakala RM87,500.00 diagihkan kepada 175 asnaf miskin dan RM50,500 diserahkan kepada 101 asnaf mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM500 seorang.

Baginda dan rakyat kemudiannya diperdengarkan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sebelum menyampaikan titah perasmian masjid berkenaan.

Sultan Sharafuddin turut berkenan berbuka puasa bersama rakyat sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih serta jamuan moreh.

Masjid Al Falah mula dibina pada Ogos 2015 di atas tapak seluas 0.84 hektar dan siap pada Disember 2017 dengan kos sebanyak RM9.45 juta telah beroperasi pada 2 Februari 2018 bermula solat Jumaat hari tersebut hingga sekarang.

Masjid ini dibina dua tingkat dengan reka bentuk Melayu Klasik yang menarik serta mampu menampung 2,000 jemaah dalam satu masa.

-NAZ

Tinggalkan komen anda