Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Tuak Rezeki Bulan Ramadan

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto: Wan Noriza bt. Wan Jaafar ( Pasir Mas )

PASIR MAS, 17 Mei ( Malaysiaaktif ) – Berbuka puasa dengan ‘tuak’ adalah satu kebiasaan bagi masyarakat Kelantan. Rasanya yang segar dan tajam menjadikan tuak sangat enak dan istimewa sebagai pelengkap menu berbuka puasa.

‘Tuak’ adalah panggilan lazim bagi masyarakat Kelantan kepada air nira. Sebutan berbuka puasa dengan air tuak boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat luar terhadap orang-orang Kelantan.

Hakikatnya tuak di Kelantan bermaksud air nira yang diambil daripada pokok.

Terdapat dua jenis air nira yang popular di Kelantan iaitu ‘tuak kelapa’ dan ‘tuak tal’. Kedua-duanya mempunyai rasa kemanisan yang hampir sama namum aroma baunya lebih kepada tuak kelapa berbanding tuak tal.

Bagi pesara Abdul Rahman Jusoh, 70, dari Tendong, Pasir Mas, sudah 10 tahun mengusahakan tuak kelapa selepas bergelar pesara bagi menambah pendapatan keluarga.

Bercerita mengenai rutin harian sebagai ‘penyadat’, “Seawal pukul 7 pagi lagi pakcik sudah turun dari rumah, bermotosikal ke kebun kelapa yang sejauh setengah kilometer itu untuk menyadat tuak tiap-tiap hari.”

Abdul Rahman bersama air Tuak yang di ambil dari pokok kelapa

Abdul Rahman bersama air Tuak yang di ambil dari pokok kelapa

“Nak dapatkan tuak, mayang kelapa akan dipotong sedikit pada hujungnya menggunakan sadat yang tajam bagi mengeluarkan tuak dan ditadah menggunakan tukil buluh yang diikat pada hujung mayang. Tapi sekarang ini semua dah guna botol plastik atau bekas air minuman bagi menggantikan tukil buluh,” jelas Abdul Rahman seterusnya.

Akar Chengal yang dipotong dalam bentuk cebisan kecil, dijemur panas hingga kering dan dimasukkan ke dalam tukil buluh atau botol plastik sebelum diikat pada mayang kelapa.

“Tuak yang dikutip akan ditapis supaya tiada habuk dan serangga kecil,” ujarnya lagi.

Abdul Rahman memproses tuak dua kali sehari iaitu pada sebelah pagi dan petang. Cuaca kemarau tanpa hujan akan mengaktifkan penghasilan tuak yang lebih berkualiti.

Permintaan terhadap air tuak meningkat sekali ganda di bulan puasa, kerana adalah menjadi tradisi bagi masyarakat Kelantan berbuka dengan tuak.

Pada musim biasa jualan tuak memberikan pulangan sebanyak RM40 sehari, manakala di bulan puasa ianya meningkat kepada RM80 sehari.

Air tuak yang tidak terjual akan diproses untuk dijadikan ‘air manisan’ atau air gula Melaka. Manisan cair ini juga mendapat permintaan yang tinggi bagi digunakan sebagai bahan pemanis asli kuih muih tradisional Kelantan.

Secara keseluruhan pendapatan Abdul Rahman sepanjang bulan puasa mencecah sehingga RM2000 hasil daripada jualan air tuak dan manisan cair.

-NAZ

Tinggalkan komen anda