Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Mekanik Muda Aset Negara

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Suhaimi Nik Wil/Mohd Rozali Isa (Kuala Krai)

KUALA KRAI, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Hampir setiap masa isu pengangguran seringkali dikaitkan dengan peluang pekerjaan di kalangan generasi muda, khususnya yang tercicir dalam pelajaran serta tidak berpeluang meneruskan pengajian di pusat pengajian tinggi.

Langkah kerajaan dengan menubuhkan pusat-pusat latihan dan kemahiran kepada golongan muda di seluruh negara adalah tindakan tepat dan bijak ke arah mengeluarkan tenaga kerja mahir tempatan tanpa bergantung kepada kemahiran daripada luar.

Dasar ini disokong pula dengan galakan kepada remaja mengikuti dan menceburi bidang TVET atau kemahiran teknikal dan vokasional.

Antara matlamat kerajaan ialah agar lebih ramai anak muda terlibat dalam bidang ini, seterusnya mampu mengeluarkan tenaga kerja teknikal dan vokasional tempatan yang mahir dan separa mahir.

Peluang ini telah dimanfaatkan oleh seorang anak muda tempatan dari Kuala Krai, Aqil Hasan, 20, yang menyertai kursus kemahiran dalam bidang automotif di Kolej Komuniti Pekan, Pahang selama setahun 8 bulan dan berjaya memiliki Sijil Kemahiran Komuniti.

Beliau kini bekerja sebagai mekanik di Pusat Servis Perodua yang terletak lebih kurang 2 kilometer dari Bandar Kuala Krai.

Mekanik muda sedia untuk bertugas Aqil Hasan bersama rakan sekerja Afiq Aiman (berkaca mata)

Mekanik muda sedia untuk bertugas Aqil Hasan bersama rakan sekerja Afiq Aiman (berkaca mata)

Mekanik muda yang lahir dari dasar yang diperkenalkan kerajaan ini merupakan antara aset yang wajar dibanggakan kerana negara sememangnya memerlukan tenaga kerja muda bidang teknikal dan vokasional yang berkemahiran dalam kepelbagaian bidang.

“Nasihat saya kepada remaja yang berada di luar sana yang masih teraba-raba tanpa arah tujuan, adalah lebih baik menceburkan diri dalam bidang kemahiran automotif di pusat-pusat latihan dan kemahiran yang berada di seluruh negara demi untuk sebuah masa depan yang lebih baik kerana mudah untuk mendapatkan pekerjaan apabila tamat belajar nanti,” ujarnya.

Para remaja perlu berminat dan berani menerokai bidang kemahiran dan vokasional kerana inilah sahaja pilihan yang ada untuk mereka memperoleh pekerjaan sama ada makan gaji atau mengusahakan secara sendirian, tambah mekanik muda ini.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia maju dengan hasil produk dalamannya sendiri. Negara yang telah merdeka 60 tahun lebih ini tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya kepada orang asing untuk menjadi sebuah negara maju kerana kita mampu merealisasikannya,” tegasnya bersemangat semasa menutup temubual.

-NAZ

Tinggalkan komen anda