Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Menara Penghantaran Projek CAR Dirobohkan

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

RAWANG, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Menara penghantaran bagi projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) yang menghantui penduduk Kampung Sungai Terentang dan kawasan sekitarnya sejak 14 tahun lalu, hari ini dirobohkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata sebelum ini timbul persoalan di kalangan penduduk apabila pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bercadang tidak akan merobohkan menara penghantaran talian berkapasiti 33 Kilo Volt (KV).

“Namun, selepas pilihanraya umum ke-14 PRU14), saya bersama kerajaan negeri memohon agar semua menara tersebut dirobohkan dan kerajaan Selangor akan mengambil alih tanah yang diberikan untuk projek CAR itu.

“Hari ini, kerja-kerja meroboh telah bermula setelah pihak TNB berjaya melantik kontraktor dua hari lalu untuk meroboh semua menara di Kampung Sungai Terentang dan Kampung Lee Kim Sai,” katanya semasa sidang media di Kampung Sungai Terentang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wei Kiat berkata, terdapat 12 buah menara penghantaran iaitu empat untuk talian berkapasiti 275KV dan lapan berkapasiti 33KV.

Beberapa penduduk kampung menyaksikan pekerja kontraktor menurunkan struktur menara penghantaran projek CAR.

Beberapa penduduk kampung menyaksikan pekerja kontraktor menurunkan struktur menara penghantaran projek CAR.

“Kerja-kerja meroboh di Kampung Sungai Terentang dijangka mengambil masa dua minggu manakala secara keseluruhannya dijangka siap 12 September ini.

“Ini merupakan kemenangan penduduk kampung yang berjuang menghalang projek tersebut lebih 10 tahun lalu,” katanya.

Projek CAR merupakan projek pemasangan kabel bervoltan tinggi di sepanjang jajaran pembinaan sejauh 59 kilometer yang merentasi Kampung Sungai Terentang di Rawang meliputi kawasan seluas 1.5 kilometer.

Projek mega TNB ini sepatutnya bermula sejak 2007 tetapi telah ditangguhkan apabila penduduk setempat membantah dengan mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bantahan tersebut kemudian mendapat campur tangan kerajaan negeri apabila bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim mengarahkan agar projek CAR itu dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Penghujung Januari 2013, TNB bersetuju cadangan jajaran alternatif Kerajaan Negeri bagi menyelamatkan Kampung Sungai Terentang yang didiami oleh 5,000 orang dan kawasan sekitarnya seperti Kampung Batu 16 dan Kampung Lee Kim Sai.

Pada 2016, MMKN bersetuju menarik balik pengambil alihan tapak jajaran asal projek CAR itu yang melibatkan 35 lot tanah penduduk.

-NAZ

Tinggalkan komen anda