Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Dua Beradik Terperangkap dalam Kebakaran

By 20 Jun 2019Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusoff (Tampin)

TAMPIN, 20 JUN (Malaysiaaktif) – Dua kanak-kanak berusia tujuh dan lima tahun mengalami detik cemas apabila terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Semelenggang petang semalam.

Kedua adik beradik tersebut berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bergegas ke rumah itu sejurus menerima laporan daripada jiran mangsa.

Keadaan dalam rumah yang terbakar.

Keadaan dalam rumah yang terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, S. Dullasi Nathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.38 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.

Kata beliau, “Bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan dua beradik yang dilihat hampir lemas kerana terhidu asap. Jika anggota bomba terlewat beberapa minit mungkin mereka akan pengsan”.

Dullasi Nathan berkata, anggota bomba mendapati rumah itu tekunci dari luar dan hasil maklumat daripada jiran mangsa menyatakan ibu bapa mereka tiada di rumah ketika kejadian berlaku.

Beliau menjelaskan, rumah itu musnah 80 peratus dan seramai 20 pegawai serta anggota Balai Bomba Dan Penyelamat Tampin, Rembau dan Alor Gajah bersama beberapa buah jentera terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran.

Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Tampin sebaik sahaja diselamatkan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr. Hassan Bahrom turut bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu dan beliau turut melahirkan rasa simpati atas musibah yang berlaku.

Dr. Hassan Bahrom mendengar penerangan dari Pegawai Bomba.

Dr. Hassan Bahrom mendengar penerangan dari Pegawai Bomba.

 

-KN

Tinggalkan komen anda