Skip to main content
Berita TempatanEkonomiHomeSelangor

Kerajaan Komited Tarik Pelaburan Berteknologi Tinggi – Gobind

By 18 Jun 2019Jun 21st, 2022Tiada komen2 minit bacaan

CYBERJAYA, 18 Jun (Malaysiaaktif)– Malaysia kekal komited kepada pembuatan dan pengindustrian berteknologi tinggi dengan mengenal pasti rakan kongsi strategik yang akan membantu menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan bagi pemain industri teknologi tinggi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata untuk berbuat demikian, Malaysia perlu meningkatkan usahanya bagi menarik pelaburan langsung asing berintensifkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke dalam negara.

Ini termasuk menawarkan insentif bagi menarik pemain teknologi maklumat global untuk membawakan teknologi revolusi ke Malaysia, manakala pada masa yang sama menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melabur dalam R&D dan automasi, katanya pada majlis pelancaran Dell Digital Labs, di sini, hari ini.

Gobind berkata kerajaan juga komited untuk mengambil langkah yang perlu bagi memudahkan dan menggerakkan agenda digital.

Bagaimanapun, katanya, tanggungjawab untuk mengembangkan dan memupuk industri teknologi perlu digalas oleh semua pihak yang berkaitan dengan saling bekerjasama untuk mewujudkan satu ekosistem yang dinamik serta mampan, dan bukan hanya dipikul oleh satu kementerian sahaja.

Menyebut Dell Digital Labs sebagai contoh, Gobind berkata membangunkan makmal digital seumpama itu di negara ini boleh membantu mengembangkan penguasaaan teknologi digital di Malaysia serta melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.

Menurutnya, ketika ini penggunaan digital dalam perniagaan di negara ini masih ketinggalan di belakang standard antarabangsa.

“Perniagaan, terutamanya PKS, menyatakan pelbagai alasan mengapa mereka tidak menyertai penggunaan digital, termasuk kurang pengalaman atau pengetahuan, takut dengan teknologi, kekurangan tenaga kerja dan kekangan bajet,” katanya sambil menambah pemikiran seumama ini perlu diubah dengan segera untuk mengelak daripada tercicir di belakang.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda