Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Tidak Wujud Kegiatan Culik Kanak-Kanak untuk Penjualan Organ – Timbalan KPN

By 18 Jun 2019Tiada komen1 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Tidak wujud sindiket yang menjalankan kegiatan menculik kanak-kanak untuk tujuan penjualan organ di negara ini, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Beliau berkata masyarakat harus maklum bahawa pemindahan organ hanya boleh dilakukan secara sah oleh pakar perubatan dengan mengikut prosedur-prosedur pembedahan yang ditetapkan, dan proses itu tidak boleh dilakukan oleh sembarangan orang seperti pemandu van putih, yang sering dikaitkan dengan kegiatan menculik kanak-kanak.

“Polis memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan berita palsu kononnya wujud sindiket yang menjalankan kegiatan itu. Walaupun pihak polis telah beberapa kali membuat kenyataan bahawa tidak wujud kegiatan sedemikian di Malaysia namun berita-berita itu masih lagi ditularkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau seterusnya menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu berhubung perkara itu kerana ia akan menjejaskan ketenteraman awam serta membangkitkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

“Mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu boleh disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda