Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sabah Fest 2019 di Lapan Lokasi Terpilih Sekitar Bandaraya KK

By 14 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Farhana Hidayah Mohd Raduan/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Penganjuran Sabah Fest 2019 akan diadakan di lapan lokasi terpilih sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata, program tahunan kementerian tersebut akan berlangsung pada 15 Jun hingga 7 Julai ini.

“Majlis pelancaran akan diadakan pada 15 Jun di Laman Seni, Lembaga Kebudayaan Sabah bermula 6 petang.

“Pelbagai acara akan diadakan pada majlis pelancaran tersebut antaranya demonstrasi pembuatan kraf tradisional, pameran makanan tradisional dan pameran kraf, bazar kebudayaan, trak makanan dan banyak lagi.

Christina menjelaskan acara Sabah Fest 2019 kepada para media semasa sidang media berlangsung.

Christina menjelaskan acara Sabah Fest 2019 kepada para media semasa sidang media berlangsung.

“Para pengunjung akan dihidangkan dengan pertunjukan tarian kebudayaan termasuk tarian tradisional dari Persatuan Kebudayaan Kesenian Warisan Tobilung Sabah (Kota Marudu) dengan menampilkan Tarian Mongigol dan Persatuan Simunul Semporna (Semporna) dengan Tarian Igal Tabawan, “jelas Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS).

Menurutnya, majlis pada kali ini turut membawakan penampilan khas Unduk Ngadau Kaamatan 2019, Francesca Esther Nain serta pemenang Sugandoi (pertandingan nyanyian) Kaamatan Dabra Sia Ying Ying dan Eylia Eyre Guntabid untuk memeriahkan pentas pada 9 malam.

Katanya juga, Program Sabah Fest ini diadakan bagi mengetengahkan warisan kebudayaan Sabah yang kaya dan memainkan peranan besar dalam industri pelancongan.

Sidang media yang berlangsung di Wisma Tun Fuad Stephens.

Sidang media yang berlangsung di Wisma Tun Fuad Stephens.

“Pelancong tempatan dan antarabangsa juga dapat menikmati persembahan tarian tradisional seperti Sumazau Penampang, Igal-Igal Semporna, Dansa Cocos Lahad Datu dan Anggalang Magunatip Tenom.

“Program Sabah Fest telah diadakan bermula tahun 1988 dan pada asalnya Ia merupakan acara sambutan kebudayaan Sabah yang kaya dengan pelbagai persembahan tradisional yang dipersembahkan untuk melengkapkan bulan Sambutan Pesta Menuai.

“Acara ini dikendalikan oleh Lembaga Pelancongan Sabah dan dianjurkan oleh Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd,” jelas beliau pada sidang media penganjuran Sabah Fest 2019 di Wisma Tun Fuad, pada Khamis.

Dari kiri: Mansor Asun, Zachary Mobijohn, William Baya, Christina Liew (tengah), Ken Pan Ting On dan Noredah Othman

Dari kiri: Mansor Asun, Zachary Mobijohn, William Baya, Christina Liew (tengah), Ken Pan Ting On dan Noredah Othman

Pameran dan pertunjukan Kebudayaan Sabah Fest ini bermula pada 15 Jun di Laman Seni, Lembaga Kebudayaan Sabah; Pusat Membeli-belah Oceanus Waterfront pada 16 Jun, Ahad pukul (5 petang); Pusat Membeli-belah Imago Shopping pada 22 Jun, Sabtu pukul (7 petang); Centre Point Sabah pada 23 Jun, Ahad pukul (2 petang), Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 29 Jun, Sabtu pukul (7 petang), seterusnya di Pusat Membeli-belah Suria Sabah pada 30 Jun, Ahad pukul (1 petang).

Manakala pada bulan Julai ia diadakan di Pasar Malam Gaya Street pada 6 Julai, Sabtu pukul (7 petang) serta lokasi terakhir di Lintasan Deasoka Pasar Ahad pada 7 Julai, Ahad pukul (8 pagi).
Dalam pada itu, Christina turut mempelawa orang ramai untuk turut serta memeriahkan acara berkenaan.

Poster Sabah Fest 2019.

Poster Sabah Fest 2019.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Ken Pan Ting On; Setiausaha Tetap KePKAS, William Baya; Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Mansor Asun; Pengurus Besar Sri Pelancongan Sabah, Zachary Mobijohn dan Pemangku Pengurus Besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Noredah Othman.

-EM

Tinggalkan komen anda