
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 13 Jun ( Malaysiaaktif) – Tiada kemalangan maut dicatatkan sepanjang perlaksanaan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan yang bermula 29 Mei dan berakhir 12 Jun lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Supt. Muhamad Farid Ahmad, hanya 15 kes kemalangan melibatkan kerosakan tanpa kemalangan maut serta cedera parah atau cedera ringan direkodkan.
“Trend ini menunjukkan penurunan sebanyak tujuh kes bersamaan -31.81 peratus berbanding sebanyak 22 kes kemalangan dilaporkan sepanjang tempoh Op Selamat 13/2018 iaitu merangkumi satu kes kemalangan jalan raya maut, satu kes kemalangan jalan raya ringan dan 20 kes kemalangan melibatkan kerosakan sahaja.
“Penurunan kes kemalangan yang amat ketara ini adalah sejajar dengan penguatkuasaan (total inforcement) dan komitmen jitu yang ditunjukkan oleh petugas-petugas Op Selamat 15/2019.
“Pengeluaran saman POL 257 dan POL 170A juga menunjukkan peningkatan pada Op Selamat 15/2019 berbanding Op Selamat 13/2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, sepanjang cuti Kaamatan, Hari Gawai Dayak, Hari Raya Aidilfitri dan cuti penggal persekolahan, sebanyak 490 lawatan dilakukan terhadap 66 buah rumah yang mana tuan rumahnya telah melaporkan rumah mereka yang ditinggalkan kepada pihak IPD labuan
“Tiada direkodkan kes pecah rumah terhadap 66 buah rumah yang ditinggalkan, namun sepanjang tempoh 29 Mei hingga 12 Jun terdapat empat kes pecah rumah berlaku dan ia tidak melibatkan rumah yang pemiliknya melaporkan kepada pihak polis sebelum balik ke kampung halaman,” katanya lagi.
Tambah Farid walaupun Op Selamat 15/2019 telah tamat, pihak IPD Labuan akan sentiasa menjalankan tugas pencegahan dan membanteras jenayah bagi menjamin kesejahteraan serta keselamatan penduduk Wilayah Persekutuan Labuan.
-EM