Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Tiada Pencemaran Sumber Air Di Kuala Koh – TPM

By 14 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Erzufariza Zulkifly (Gua Musang)

GUA MUSANG, 14 Jun (Malaysiaaktif) – Timbalan Pedana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan bahawa tiada berlaku sebarang pencemaran sumber air di Perkampungan Orang Asli Kuala Koh.

“Mengikut keputusan ujian persampelan air yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun lalu mengesahkan bahawa kualiti air di Perkampungan Kuala Koh mematuhi strandard kualiti air minum kebangsaan.

“Siasatan JAS mengesahkan tiada sebarang aktiviti pelepasan sisa bahan-bahan tercemar daripada aktiviti perlombongan di Aring 10 ke Perkampungan Orang Asli, Kuala Koh,” katanya ketika sidang media di Pusat Operasi OP Batek, di sini hari ini.

Taklimat operasi dan keselamatan oleh Ketua Polis Kelantan.

Taklimat operasi dan keselamatan oleh Ketua Polis Kelantan.

Sebelum itu, Wan Azizah berkesempatan meninjau kawasan Perkampungan Orang Asli Kuala Koh melalui udara serta mendengar taklimat OP Batek daripada Ketua Polis Negeri Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Pegawai Kesihatan Daerah Gua Musang, Dr. Rafiq Kasri.

Wan Azizah menjelaskan usaha mengesan mayat masih diteruskan bagi mengenalpasti punca kematian.

“Hasil pemeriksaan terhadap masyarakat Orang Asli yang telah meninggal dunia mendapati mereka negatif daripada penyakit tibi, kencing tikus dan parasit.

“Setakat ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah menemui lapan mayat dan usaha mengesan empat mayat lagi masih diteruskan bagi mencari punca utama kematian masyarakat Orang Asli Kuala Koh ini,” tambahnya.

TPM menyampaikan kit makanan kepada wakil masyarakat Orang Asli Kuala Koh.

TPM menyampaikan kit makanan kepada wakil masyarakat Orang Asli Kuala Koh.

Dalam pada itu, Wan Azizah turut menyampaikan kit makanan kepada 10 orang wakil ketua isi rumah masyarakat orang asli dan meninjau ke Pusat Pegumpulan Bantuan Awal.

Antara Agensi yang terlibat dalam OP ini, Agensi Pegurusan Bencana Negara, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Kesihatan, Jabatan Penerangan, Jabatan Kimia, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Majlis Daerah Gua Musang, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Perhilitan, dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom.

Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Saifuddin Nasution, Menteri di Pejabat Pedana Menteri Senator P. Waytha Moorthy Ponnusamy, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr . Xavier Jayakumar a/l Arulanandram, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, serta Timbalan Hal Ehwal Ekonomi Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin,

-SH

Tinggalkan komen anda