Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Udang Kara, Peluang Niaga Menguntungkan Untuk Belia

By 18 Jun 2019Tiada komen5 minit bacaan

Laporan/Foto: Fauzrina Bulka/Azman Jumat (Kota Kinabalu)

PUTATAN, 18 Jun (Malaysiaaktif) – Menceburi perniagaan udang kara semestinya satu peluang yang menguntungkan jika tahu cara yang betul untuk mengendalikannya dan tidak mustahil untuk dilakukan di daerah Putatan kerana penggunaan tanah yang sangat minimum.

Ditambah lagi dengan kemudahan geran Agropreneur Muda yang disediakan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sememangnya peluang yang baik untuk usahawan muda kerana permintaan yang sangat tinggi terhadap udang kara, daripada pasaran tempatan dan juga luar negara.

Dari kiri: Arsit, Uda, Anita, Nanih dan Winston sewaktu sesi lawatan ke gerai pameran udang kara.

Dari kiri: Arsit, Uda, Anita, Nanih dan Winson sewaktu sesi lawatan ke gerai pameran udang kara.

Menurut usahawan Winson Yoong, permintaan yang tinggi mencecah hingga 100 ribu ekor udang kara untuk pasaran tempatan sahaja.

“Kami sedang mengurus geran untuk belia dan kami memerlukan 250 kolam untuk menghasilkan 100 ribu ekor udang kara, selepas itu barulah kita boleh bekalkan untuk restoran-restoran tempatan.

Anita (dua dari kanan) turut menyokong penglibatan belia dalam industri udang galah.

Anita (dua dari kanan) turut menyokong penglibatan belia dalam industri udang galah.

“Kami juga ada membina kolam yang terletak di Kiulu yang hanya boleh menghasilkan 20 ribu ekor udang kara sahaja, tetapi belum sempat masuk ke dalam pasaran tempatan, semuanya habis terjual kerana untuk restoran biasanya setiap sebulan atau tiga bulan mereka perlukan stok baharu.

“Oleh sebab itu, kami berusaha agar urusan geran untuk usahawan muda berjaya, supaya kita boleh penuhi permintaan restoran besar, yang mana harga yang ditawarkan menjangkau RM120 sekilogram,” jelas Winson.

Udang kara yang dijaga dalam kolam berukuran 10 x 5 kaki

Udang kara yang dijaga dalam kolam berukuran 10 x 5 kaki

Menurutnya, berniaga udang kara kurang memberi tekanan pada pelabur kerana tidak seperti perniagaan hartanah yang lambat mendapat untung, untuk udang kara pula, selepas 6 bulan peniaga sudah boleh mula mendapat hasil.

Tambahan pula, pihak Agro Bank telah menjalankan usaha sama strategik dengan LPP dengan memberi faedah pinjaman yang rendah untuk belia menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Udang kara matang dan sihat sedia untuk dijual.

Udang kara matang dan sihat sedia untuk dijual.

“Kami turut menawarkan Boot Camp dengan memberi peserta bantuan ilmu mengenai perniagaan yang ingin dijalankan, supaya mereka faham tentang untung rugi yang bakal dihadapi sebelum mereka yakin untuk memohon geran yang disediakan.

“Kebanyakan orang yang mengambil geran, mereka tidak tahu perniagaan yang ingin dilakukan dengan geran tersebut jadi, pengetahuan yang diperoleh melalui Boot Camp ini akan membantu mereka untuk membuat pilihan.

Bacaan PH pada air mineral yang ditunjukkan berbeza daripada bacaan di dalam kolam.

Bacaan PH pada air mineral yang ditunjukkan berbeza daripada bacaan di dalam kolam.

“Buat masa sekarang kita usahakan dengan membuat lot-lot tanah di Kampung Sendil Putatan, yang mana kami ada lima buah kolam yang berukuran 10×5 kaki yang sesuai untuk usahawan dan ada juga berukuran 15×5 kaki.

“Untuk air pula kami menggunakan air tawar, biasanya kami akan gunakan air kolam atau air hujan tapi kalau air hujan lebih bersih, hanya perlu tambah sumber mineral untuk disesuaikan dengan kegunaan udang,” jelasnya lagi.

Winston menunjukkan alat untuk memeriksa suhu dan PH air yang betul.

Winson menunjukkan alat untuk memeriksa suhu dan PH air yang betul.

Kongsi Winson, untuk memulakan perniagaan udang kara, pengusaha perlu membina sistem paip dan kolam menggunakan kanvas dan filter, dan pengusaha juga menyediakan pam air yang banyak untuk oksigen,selain penggunaan alat-alat sumber PH, asid dan alkali selain peralatan untuk memeriksa kandungan oksigen dalam air.

Menurut beliau, permintaan udang kara ini bukan hanya terhad kepada pelanggan atau peniaga yang mempunyai kedai makan, tetapi turut mendapat permintaan daripada pelanggan yang menjadikan udang kara sebagai haiwan peliharaan di rumah kerana sifat udang kara lebih senang dibela berbanding ikan peliharaan.

Udang kara yang mempunyai telur bernilai tiga kali ganda dari biasa.

Udang kara yang mempunyai telur bernilai tiga kali ganda dari biasa.

Katanya, permintaan dari luar negara juga sangat tinggi terutama sekali dari Hong Kong kerana mereka gemar membeli makanan laut daripada Sabah, kerana Sabah mempunyai perairan yang bagus.

“Tapi tanpa bekalan yang cukup memang agak sukar untuk memenuhi keperluan dan permintaan daripada luar, di Putatan sahaja ada 17 unit peladang, jika setiap unit ada 10 orang, ia boleh menghasilkan lebih kurang 1 juta ekor udang kara.

Arsit (kanan) ketika melakukan lawatan ke kolam milik Winston.

Arsit (kanan) ketika melakukan lawatan ke kolam milik Winson.

“Setiap usahawan yang membeli bibit daripada kami dengan harga RM5 untuk tiga inci, selepas proses pembesaran, kami beli semula dengan harga RM10, manakala bagi udang kara yang bertelur, kami beli semula dengan nilai tiga kali ganda.

“Walaupun pulangan bagi perusahaan ini agak tinggi, kerugiannya juga tinggi kerana jika telur yang dijaga itu tidak menjadi, sudah tentu kita akan mengalami kerugian, namun begitu, untuk mengatasinya kita perlu ada induk lain untuk menghasilkan telur-telur baharu.

Udang kara merupakan spesies yang mudah dibela berbanding ikan.

Udang kara merupakan spesies yang mudah dibela berbanding ikan.

“Keuntungan tahunan kita boleh congak dengan berapa besar jumlah udang yang usahawan boleh jaga, ditolak dengan kerugian jika ada yang mati dalam proses tersebut, jika usahawan tersebut mampu jaga hingga 10 ribu ekor, pendapatan yang boleh diperoleh lebih kurang RM2,000 ke RM3,000 sebulan.

“Sekiranya ada yang berminat, kami boleh bantu untuk merealisasikan impian usahawan-usahawan di Putatan ini,” ujar Winson.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi.

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, Datuk Seri Arsit Sedi turut berkongsi aspirasinya untuk menjadikan Putatan sebagai salah satu hub untuk pengumpulan produk-produk PKK untuk dipasarkan di pasaran tempatan dan juga luar negeri.

“Jika bercakap soal tanah, tanah yang ada di Putatan ini sangat terhad, jadi kita jadikan tempat ini sebagai pusat pengumpulan di mana kita boleh kumpul produk dari PKK yang ada di luar bandar kerana kita ada kekuatan untuk mengedarkannya di sini.

“Selain itu, kami akan buat satu kursus dengan menjemput belia dan beliawanis untuk pemeliharaan udang kara kerana pasarannya yang sangat baik serta proses pemeliharaannya yang sangat ringkas dengan bersumberkan air tawar sahaja.

Udang kara akan hidup lama dalam air yang mempunyai bacaan PH yang betul.

Udang kara akan hidup lama dalam air yang mempunyai bacaan PH yang betul.

“Kita ingin menjadikan Putatan sebagai hub pengeluar udang kara dan kita akan sasarkan pasaran tempatan untuk permulaan dan seterusnya kita akan buat hingga ke luar negara kerana itu juga menggalakkan belia agar mereka ambil peluang untuk terokai bidang ini,” ujar Arsit.

Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengagihkan tanah seluas 18 ekar yang terletak di Tanjung Aru kepada agensi di bawahnya iaitu LKIM, LPP dan FAMA untuk dimajukan dan dijadikan pusat pelancongan.

“Justeru, saya memohon pada Pengarah LPP agar PPK Putatan diberi ruang dan peluang untuk mengisi salah satu komponen didalamnya, kerana sekarang kerajaan sangat menggalakkan industri pelancongan jadi ia bermaksud, esok lusa bila ada pelancong yang datang, kita boleh bawa mereka ke sana dan tunjukkan produk kita untuk mereka nikmati.

“Sebab itu kita ingin bangunkan produk-produk seperti Rockmelon, udang kara dan pelbagai lagi untuk kawasan Putatan.

“Saya berharap agar PPK berkembang maju, insyaAllah saya akan tetap membantu kawasan Putatan dan bantu untuk merealisasikan harapan ADUN yang ingin menjadikan Putatan sebagai tumpuan pelancong terutama sekali hasil daripada produk PKK sendiri,” ujarnya.

-EM

Tinggalkan komen anda